ROTICH dikatakan suspek utama berhubung kes pembunuhan atlet olahraga Kenya, Agnes yang juga pemegang rekod dunia. FOTO Agensi
ROTICH dikatakan suspek utama berhubung kes pembunuhan atlet olahraga Kenya, Agnes yang juga pemegang rekod dunia. FOTO Agensi
AFP

Nairobi: Polis mula menyoal siasat suami bintang Kenya, Agnes Tirop yang ditikam hingga mati dalam satu pembunuhan sekali gus mengejutkan negara berkenaan dan dunia olahraga.

Emmanuel Rotich diberkas dalam satu insiden kejar-mengejar dramatik pada lewat malam di di bandar pesisiran pantai, Mombasa semalam.

Polis berkata, Rotich adalah suspek utama dalam kes pembunuhan pemenang pingat dua kali kejohanan dunia itu yang berlaku di kediaman mereka di Iten, barat Kenya.

Seorang anggota polis berusia lingkungan 41 tahun memberitahu bahawa Rotich dijangka dihadapkan ke mahkamah hari ini namun seorang pegawai kanan memberitahu AFP bahawa perbicaraan itu ditangguhkan ke minggu depan.

Ia disebabkan pihak polis sedang berusaha untuk menyelesaikan lokasi di mana Rotich harus dibicarakan.

"Pasukan kami masih lagi menyoalnya kerana ia adalah sebahagian daripada siasatan dan kami mempunyai satu lagi pasukan yang mengumpul segala bukti di kediaman mereka di Iten di mana kejadian itu berlaku," kata salah seorang pegawai polis di Mombasa.

Pihak polis juga sedang menganalisa rakaman perbualan telefon, dengan pendakwa raya meminta sedikit masa untuk memperkuatkan lagi tuduhan dan mengenal pasti di mana sepatutnya suspek diadili.

"Memandangkan suasana di Iten agak tegang, dia mungkin tidak akan dibicarakan di sana," kata pegawai polis berkenaan.

Rotich berjaya ditangkap di Mombasa, selepas polis berjaya mengesan lokasi berkenaan apabila suspek menggunakan simkad lamanya di telefon baru selepas seharian mematikan talian.

"Dia cuba untuk melarikan diri apabila dia sedar polis ingin menangkapnya, dia cuba untuk menghalang kereta, memecut laju dan akhirnya menyebabkan keretanya sendiri mengalami kerosakan di bahagian depan serta belakang," kata pegawai polis berkenaan.

Komander polis tempatan, David Mathiu memberitahu dalam sidang media bahawa seorang lagi lelaki yang bersama Rotich pada masa penangkapannya juga turut ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 8:03 AM