RATUSAN orang berkumpul sempena majlis perarakan pengebumian Kiptum. FOTO AFP
RATUSAN orang berkumpul sempena majlis perarakan pengebumian Kiptum. FOTO AFP
AFP

Eldoret: Ratusan orang berkumpul di hab olahraga Kenya di Eldoret untuk perarakan pengebumian jaguh maraton, Kelvin Kiptum, yang meninggal dunia awal bulan ini apabila keretanya merempuh sebatang pokok.

Kerandanya, dikelilingi bunga, dibawa dalam van jenazah melalui jalan-jalan di bandar di Lembah Rift di barat Kenya, dengan orang ramai berdiri di tepi jalan memberi penghormatan.

Kiptum terbunuh dalam kemalangan pada 11 Februari pada usia 24 tahun, hanya beberapa bulan selepas dia memecahkan rekod dunia maraton.

"Sukar untuk menerima perkara ini berlaku," kata ahli jawatankuasa eksekutif Olahraga Kenya, Barnaba Korir.

"Ia adalah kehilangan besar dalam olahraga Kenya."

Bapa kepada dua anak yang sudah berkahwin, Kiptum akan dikebumikan esok di kampung halamannya di Chepkorio, dekat Eldoret.

Perarakan itu melalui jalan raya yang dipenuhi peminat dan atlet ketika menuju ke Iten, kawasan latihan altitud tinggi.

Pegawai sukan tempatan Purity Koima berkata Kiptum disayangi oleh semua orang.

"Kami kehilangan begitu ramai atlet di sini di Iten tetapi kematian Kiptum memberi kesan kepada semua orang," katanya.​

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 7:07 PM