REAKSI Ziyad sebaik tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Aizuddin Saad
REAKSI Ziyad sebaik tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Aizuddin Saad
Aida Adilah Mat


Sepang: Biar apapun yang berlaku, atlet paralimpik negara tetap juara di hati rakyat Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, rakyat Malaysia pastinya berbangga dengan apa yang dilakukan oleh keseluruhan atlet negara yang bertanding di Tokyo.

"Anda semua tetap menjadi juara di hati Keluarga Malaysia.

"Mereka sudah memberikan yang terbaik di sukan berprestij berkenaan," katanya.

Sementara itu kepulangan pemenang pingat perak acara boccia, Chew Wei Lun dan jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli diberi sambutan wira sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Turut bersama dalam kumpulan keempat kontinjen negara itu adalah atlet olahraga wanita, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin dan perenang lelaki, Nur Syaiful Zulkafli bersama-sama empat jurulatih iaitu Mohd Faizol Harun, Aiman. Hafizi Abu Bakar, Raja Zahrule Azhar Raja Khairul Anuwar dan Li Xinxin.

WEI Lun menujukkan pingat perak di menanginya. FOTO Aizuddin Saad
WEI Lun menujukkan pingat perak di menanginya. FOTO Aizuddin Saad

Mereka selamat tiba pada jam 5.20 petang dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH9117 dari Narita.

Ketibaan mereka turut disambut meriah oleh mantan menteri KBS, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Syed Saddiq Abdul Rahman bersama Timbalan Menteri, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

Selain kepulangan Wei Lun yang dinanti selepas melakarkan kejutan mara ke peringkat akhir sebelum tewas kepada atlet yang menduduki ranking nombor satu dunia dari Great Britain, David Smith 2-4 yang juga pemenang emas di Paralimpik Rio 2016, kelibat Ziyad turut dinanti.

Kepulangan Ziyad disambut tepukan gemuruh dengan sambutan seorang wira biarpun pulang tanpa pingat selepas kemenangan emas dan rekod dunianya dibatalkan kerana kesalahan teknikal lewat melapor diri di bilik menunggu.

"Apa yang berlaku ke atas Ziyad itu sesuatu di luar jangkaan namun pencapaian Ziyad tetap membanggakan biarpun dia terlepas peluang menghadiahkan emas buat negara.

"Tahniah juga kepada Wei Lun kerana membawa pulang perak biarpun tidak diletakkan sebagai prospek pingat," kata Ahmad Faizal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 7:50 PM