Aksi atlet boccia para negara, Chew Wei Lun di Sukan Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
Aksi atlet boccia para negara, Chew Wei Lun di Sukan Paralimpik Tokyo. FOTO Bernama
BERNAMA

Johor Bahru: Kerajaan negeri Johor akan memberikan ganjaran setimpal kepada atlet boccia, Chew Wei Lun, yang berjaya menghadiahkan pingat perak kepada kontinjen negara pada temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020 semalam.

Sambil mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada atlet kelahiran Johor itu, Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, meskipun tidak diletakkan sebagai sandaran untuk meraih pingat, atlet berusia 26 tahun itu melakarkan kejutan pada penampilan sulung Malaysia dalam acara itu di pentas Paralimpik Tokyo.

Pengumuman ganjaran tersebut akan dibuat pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan bersambung Isnin ini, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan komputer riba di Jabatan Pendidikan Negeri di sini, hari ini.

Sementara itu, keluarga diraja Johor menerusi Facebook rasmi 'The Royal Johor' turut menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet paralimpik itu, seorang bekas pelajar Cerebral Palsy Johor.

Wei Lun merangkul pingat perak selepas akur dengan kehebatan pemain nombor satu dunia dari Britain, David Smith, apabila tewas 2-4 pada aksi final acara individu campuran BC1 di Pusat Gimnastik Ariake, Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 7:50 PM