JONG YEE KHIE
JONG YEE KHIE
Haika Khazi


DUA atlet powerlifting negara, Jong Yee Khie dan Bonnie Bunyau Gustin dinasihatkan tidak terpengaruh perang psikologi jaguh angkat berat para dari negara lain yang mendakwa mereka mungkin tidak beraksi pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, bulan depan.

Ini kerana terdapat kemungkinan dakwaan mereka tidak menyertai Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2017 dan Piala Dunia Powerlifting Para Fazza 2018 di Dubai bulan lalu kerana cedera adalah rekaan dan taktik mengelirukan lawan semata-mata.

Justeru, ketua jurulatih negara, Jamil Adam, menasihatkan Yee Khie dan Bonnie meneruskan latihan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan prestasi ke tahap optimum menjelang acara itu yang akan berlangsung di Pusat Sukan dan Rekreasi Carrara, 10 April ini.

Beliau menegaskan tindakan itu perlu kerana Yee Khie dan Bonnie dijangka mendapat saingan sengit daripada peserta dari tiga negara iaitu Nigeria, United Kingdom dan India yang sentiasa menyerlah di temasya itu sebelum ini.

"Yee Khie beliau perlu berwaspada dengan juara bertahan, Abdulazeez Ibrahim biarpun terdapat khabar angin mengatakan atlet paralimpik Nigeria itu cedera dan sudah lama tidak menyertai kejohanan antarabangsa termasuk di Mexico dan Dubai bulan lalu. 

"Yee Khie juga perlu berwaspada dengan kekuatan dan kelebihan dimiliki atlet United Kingdom kerana walaupun rekod peribadi dan jumlah angkatnya mungkin rendah, namun mereka mempunyai kelebihan berat badan yang lebih ringan. 

“Ini kerana jika atlet UK berkenaan mempunyai berat badan lebih ringan tetapi jumlah angkatannya sama dengan Yee Khie, maka lawannya akan diumumkan sebagai pemenang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Berikutan itu, Jamil enggan meletakkan harapan terlalu tinggi walaupun Yee Khie sendiri menyatakan keyakinan dan meletakkan sasaran untuk memenangi emas.

"Jadi saya berharap Yee Khie dan Bonnie dapat melakukan terbaik dan tidak melakukan kesilapan ketika beraksi di hari pertandingan sebenar nanti sekali gus mencerahkan peluang kita menang pingat,” katanya.

Di Glasgow 2014, Yee Khie menyumbang gangsa dalam acara powerlifting kategori heavyweight 72.1 kilogram (kg) lelaki selepas melakukan angkatan 178kg dengan emas diraih Abdul Azeez (197kg) manakala Rajinder Rahelu dari India perak (180.5kg).

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 9:03 PM