Dhabitah pamer peningkatan dalam acara 3m papan anjal wanita individu di Olimpik Tokyo. FOTO Bernama
Dhabitah pamer peningkatan dalam acara 3m papan anjal wanita individu di Olimpik Tokyo. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Sesuatu perlu dilakukan oleh Persekutuan Renang Malaysia (Mas) selepas prestasi barisan penerjun negara dianggap tidak mencapai Penilaian Prestasi Kerja (KPI) yang ditetapkan.

Malah penampilan di temasya Olimpik Tokyo kali ini, Malaysia tidak mempunyai wakil dalam aksi lelaki berbanding Olimpik Rio yang mana Ahmad Amsyar Azman dan Ooi Tze Liang berjaya melayakkan diri.

Malah, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan beberapa tindakan akan diambil berdasarkan KPI yang ditetapkan.

"Prinsip saya adalah jika anda gagal mencapai KPI tindakan perlu dilakukan. Jika anda berjaya penuhi KPI anda berhak dapat ganjaran.

"Ini perkara paling asas. Anda tidak boleh lari. Lebih daripada itu saya tidak mahu masuk campur. Mereka perlu tahu apa yang perlu dilakukan.

"Tapi apa yang paling penting adalah pengurusan dan perancangan latihan persatuan itu sendiri," katanya ketika mengulas mengenai prestasi pasukan terjun negara.

Reezal berkata, biarpun penerjun Nur Dhabitah Sabri mempamerkan peningkatan tapi negara gagal dalam acara 10m platform individu dan seirama.

Justeru beliau akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Mas dan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung tindakan selanjutnya kerana KBS dan MSN bersedia untuk membantu.

Dalam perkembangan yang sama, Reezal gembira dengan pendekatan yang diambil oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila berjaya melahirkan ramai pemain muda.

Begitupun juga dengan perkembangan positif pelumba berbasikal dan program pembangunan dalam sukan itu akan diperluaskan untuk menghasilkan lebih banyak bakat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 7:59 PM