AKSI Russell Henley pada pusingan kedua. FOTO AFP
AKSI Russell Henley pada pusingan kedua. FOTO AFP
AFP

La Jolla: Richard Bland dari England dan wakil Amerika Syarikat (AS), Russell Henley berkongsi kedudukan pendahulu selepas berakhir pusingan kedua Terbuka AS dengan bintang Afrika Selatan, Louis Oosthuizen hanya ketinggalan satu pukulan.

Henley yang kemarau kemenangan di US PGA selama empat tahun dan tidak pernah menduduki kelompok 10 terbaik kejuaraan utama, melakar satu bawah par 70 selepas 36 lubang untuk keseluruhan lima bawah par 137.

"Saya berasa selesa dengan prestasi hari ini. Saya tidak pernah meraih kedudukan seperti ini di kejuaraan utama. Pastinya saya akan mempelajari sesuatu tidak kira apa saja yang berlaku," kata Henley.

Bland pula baru sahaja meraih kejuaraan Jelajah Eropah kali pertama bulan lalu di British Masters selepas 25 tahun sekali gus muncul pemenang tertua di siri jejalah itu pada usia 48 tahun.

Selepas melakukan empat bawah par 67, dia mahu mencuba untuk muncul pemenang tertua dalam sejarah Terbuka AS sekali gus mengatasi rekod Hale Irwin dari AS yang memenangi kejohanan di Medinah pada usia 45 ketika tahun 1990.

"Saya dapat beraksi dengan baik sejak lima atau minggu lalu yang mana ia diperlukan untuk bersaing di Terbuka AS," katanya.

Oosthuizen, juara Terbuka British 2010, mencatat par 71 untuk berkongsi kedudukan ketiga dengan keseluruhan empat par 138 bersama-sama Matthew Wolff.

"Harap saya dapat teruskan aksi cemerlang ini pada pusingan seterusnya," kata Oosthuizen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 11:54 AM