PEMAIN Serbia, Novak Djokovic terjatuh ketika menentang pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson di pusingan kedua Wimbledon, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN Serbia, Novak Djokovic terjatuh ketika menentang pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson di pusingan kedua Wimbledon, hari ini. FOTO AFP
AFP

London: Novak Djokovic mengakui, kegagalan melakukan Golden Slam pada 2016 menyebabkan dia semakin bersemangat terus mencatat nama dalam buku rekod tenis dunia.

Selepas memenangi gelaran Terbuka Australia dan Terbuka Perancis tahun ini, pemain nombor satu dunia itu kini separuh jalan untuk muncul lelaki ketiga menamatkan kalendar Grand Slam dengan empat gelaran utama.

Bagaimanapun, jika dia menang gelaran Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat (AS)serta pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo, dia akan menjadi lelaki pertama memenangi Golden Grand Slam.

Pada 2016, Djokovic berada di landasan mencapai sasaran selepas menang di Melbourne dan Roland Garros.

Bagaimanapun, dia tewas di pusingan ketiga Wimbledon kepada Sam Querrey, kecundang di pusingan pertama di Sukan Olimpik Rio kepada Juan Martin del Potro sebelum Stan Wawrinka menewaskannya di final Terbuka AS.

"Saya akan belajar daripada pengalaman berlaku pada 2016," kata Djokovic selepas melepasi Kevin Anderson 6-3, 6-3, 6-3 untuk mara ke pusingan ketiga Wimbledon buat kali ke-15, hari ini.

"Ketika itu, saya menang dua gelaran Grand Slam, datang ke Wimbledon dalam keadaan baik, bermain dengan baik tetapi kalah kepada Querrey, yang bermain baik pada hari itu.

"Saya rasa sikit berbeza, mungkin kecewa. Tetapi saya tidak mahu katakan kurang motivasi kerana bermain di Wimbledon adalah impian semua pemain termasuk saya.

"Ia kali pertama saya alami situasi dan keadaan seperti itu. Jadi, kali ini saya fikir lebih baik dan lebih berpengalaman sebagai pemain dan manusia."

Pada hari ini, Djokovic beberapa kali terjatuh di Centre Court untuk memburu gelaran keenam Wimbledon dan mampu menyamai rekod 20 gelaran Grand Slam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 2:13 AM