LAMBANG Olimpik kelihatan di Taman Marin Odaiba di Tokyo. FOTO EPA
LAMBANG Olimpik kelihatan di Taman Marin Odaiba di Tokyo. FOTO EPA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan sasaran pingat Sukan Olimpik Tokyo 2020 buat kontinjen negara hanya akan diumumkan seminggu sebelum temasya itu membuka tirai secara rasmi.

Menurutnya, jika berdasarkan pengiraan tarikh upacara pembukaan iaitu 23 Julai, berkemungkinan sasaran pingat kontinjen negara akan diumumkan pada 16 Julai ini (Jumaat).

"Dalam tempoh seminggu sebelum Olimpik bermula (pengumuman sasaran pingat) iaitu jika kita tolak 23 Julai kepada tujuh hari, ia bersamaan dengan 16 Julai. Saya perlu laporkan dulu kepada kabinet mengenai persiapan kontinjen," katanya dalam sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Kontinjen Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 sebentar tadi.

Ujar Reezal Merican, beliau akan duduk bersama-sama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin sebelum memaklumkan apa yang mereka sandarkan.

Sebelum ini Reezal Merican menyandarkan tiga sukan iaitu badminton, berbasikal dan terjun yang mampu untuk menyumbang pingat buat kontinjen negara sama seperti di Rio 2016.

Dalam pada itu beliau juga turut menekankan bahawa atlet bukan saja perlu mengelak daripada dijangkiti Covid-19 tapi harus sedaya upaya agar tidak tersenarai dalam kontak rapat dengan mana-mana pesakit virus berkenaan ketika berada di Tokyo.

"Mereka bukan saja perlu mengambil berat mengenai dijangkiti Covid-19 malah perlu melaksanakan protokal tidak berada dekat dengan mana-mana individu dengan jarak kurang dari dua meter dan sentiasa memakai pelitup muka.

"Walaupun tidak dijangkiti tapi menjadi kontak rapat juga mungkin boleh berdepan dengan kemungkinan gagal menyertai temasya berkenaan. Protokol di Jepun amat ketat malah sebelum berlepas juga perlu menjalani tiga kali saringan," katanya.

Reezal Merican juga turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana sentiasa memberi keizinan buat atlet untuk pergi ke luar negara bagi menempuhi aksi kelayakan Olimpik sebelum ini.

"Sebagai contoh atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong yang menyertai Kejohanan Terjun Piala Dunia di Tokyo. Jika dia tidak menyertai kejohanan itu mungkin tidak layak ke Olimpik. Terima kasih juga kepada MKN kerana banyak membantu persiapan atlet baik yang akan ke Olimpik mahupun Paralimpik," katanya.

Majlis Amanat Perdana. FOTO Ihsan FB Reezal Merican Naina Merican
Majlis Amanat Perdana. FOTO Ihsan FB Reezal Merican Naina Merican

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 6:31 PM