AKSI pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic ketika menentang pemain Jepun, Yoshihito Nishioka. FOTO REUTERS
AKSI pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic ketika menentang pemain Jepun, Yoshihito Nishioka. FOTO REUTERS
Reuters

Paris: Pemain tenis nombor satu dunia yang juga juara bertahan Terbuka Perancis, Novak Djokovic mengatasi pemain Jepun, Yoshihito Nishioka 6-3, 6-1, 6-0 pada Isnin, untuk mara ke pusingan kedua dalam usaha menyamai rekod 21 gelaran Grand Slam.

Pemain Serbia itu yang akan berusia 35 tahun pada Ahad ini, hanya memerlukan kurang dua minit untuk menewaskan pemain Jepun yang menduduki ranking ke-99 dunia itu dalam penampilan sulung di Grand Slam, tahun ini, selepas tidak bertanding di Terbuka Australia.

"Saya puas hati dengan kemenangan ini. Saya berhempas pulas untuk menyesuaikan diri pada set pertama. Dia adalah pemain pantas dan persaingan set pertama agak sengit sebelum saya menang mudah set kedua dan ketiga," kata Djokovic.

"Saya selalu mengharapkan prestasi terbaik, tetapi ini adalah permulaan yang baik."

Masih segar selepas memenangi Terbuka Itali tanpa melepaskan satu set, lapan hari lalu, Djokovic mudah mengatasi Nishioka yang menggunakan strategi berisiko apabila pemain dalam sudut sempit sejak awal perlawanan.

Sebelum ini, Djokovic tidak dapat mempertahankan gelaran Terbuka Australia apabila dihantar pulang dari negara itu akibat enggan menerima vaksin Covid-19.

Sementara itu, juara 13 kali, Rafael Nadal tidak menunjukkan masalah kecederaan apabila melangkah ke pusingan kedua selepas menang 6-2, 6-2, 6-2 ke atas pemain Australia, Jordan Thompson.

Jaguh dari Sepanyol itu hadir ke Paris selepas cedera rusuk dan masalah kaki menjelang kejohanan, namun tidak berdepan masalah di gelanggang Philippe Chatrier.

"Bagi saya, memang menakjubkan apabila dapat bermain lagi di Chatrier. Saya gembira dengan kemenangan ini dan pusingan pertama selalunya istimewa," kata Nadal, yang kini menang 106 perlawanan di Roland Garros - paling banyak dalam kalangan pemain lelaki dalam satu Grand Slam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 9:24 AM