MURRAY  enggan putus asa. FOTO AFP
MURRAY enggan putus asa. FOTO AFP
AFP

Miami: Juara tiga kali Grand Slam dan bekas pemain nombor satu dunia, Andy Murray antara lima pemain diberikan wildcard ke undian utama Terbuka Miami, menurut penganjur semalam.

Murray yang melupakan Kejohanan Tenis Dubai susulan menyambut kelahiran anak keempatnya kembali sertai Terbuka Miami kali pertama sejak 2016.

Juara dua kali Wimbledon dan Olimpik itu masih lagi mencari rentak permainan selepas menjalani pembedahan pangkal paha dua tahun lalu. Dia menjuarai Terbuka Miami pada 2009 dan 2013 selain mara ke final pada 2012 dan 2015.

"Amat menggembirakan melihat Andy kembali ke Miami,'' kata pengarah kejohanan James Blake. "Bagi pemain yang perlu bangkit selepas jalani pembedahan, saya faham dan hormati semua kerja keras Andy kembali ke jelajah.''

Murray diletakkan dalam undian utama bersama pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz, Michael Mmoh dari Amerika Syarikat, Hugo Gaston dari Perancis dan pemain Britain, Jack Draper.

Anna Kalinskaya, Ana Konjuh, Storm Sanders, Katrina Scott, Mayar Sherif, Wang Xiyu and Wang Xinyu diberikan wildcard bagi kategori wanita.

Pada Ahad lalu, juara dua kali Terbuka Miami, Kim Clijsters menarik diri daripada kejohanan.

Clijsters yang menjalani pembedahan lutut pada Oktober lalu dan kemudian dijangkiti Covid-19 pada Januari berkata, dia menarik diri kerana bimbang tahap kecergasannya.

"Malangnya, saya tiada disini, tempat sepatutnya saya ada jika mahu berentap dengan pemain terbaik. Ia sangat mengecewakan."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 12:00 PM