MEIJERS mempunyai pengalaman luas. FOTO FB TSG
MEIJERS mempunyai pengalaman luas. FOTO FB TSG
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pasukan berstatus benua Asia, Terengganu Cycling Team (TSG) memantapkan lagi kem pasukan apabila mengikat bekas pelumba Taiyun Miogee Cycling Team dari China, Jeroen Meijers.

Pelumba kelahiran Belanda berusia 28 tahun itu diikat kontrak bersama pasukan TSG selama setahun mulai 1 Mac lalu bagi menggantikan Robin Jurado Lopez dari Panama yang meninggalkan pasukan.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, kehadiran Meijers tepat pada masanya bagi memperkukuhkan pasukan dalam misi memburu lebih banyak lagi mata ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"Keputusan mengambil Meijers bagi menggantikan Lopez yang memilih untuk tidak menyambung kontrak bersama TSG kerana mendapat tawaran lebih baik daripada pasukan baharu di negaranya.

"Kami ikat pelumba baharu itu berdasarkan kejayaannya sebelum ini termasuk pernah memenangi jersi kuning jelajah di China dan Filipina selain mempunyai latar belakang yang bagus sebagai pelumba serta posisinya sesuai dengan pasukan.

"Kami yakin dengan kehadiran pelumba baharu itu bakal menambah lagi kekuatan pasukan apatah lagi kita berjaya menaiki lima podium di Turki baru-baru ini," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu Meijers menerusi laman Instagramnya akui gembira dan tidak sabar untuk menyertai pasukan TSG yang dilihat salah sebuah pasukan yang hebat di Asia.

"Suka ingin saya kongsikan mulai saat ini saya akan menyertai pasukan TSG dan situasi ini adalah masa yang sesuai memulakan episod baharu selepas musim yang sukar berikutan pandemik Covid-19.

"Jadi saya tidak sabar lagi untuk mengharungi cabaran akan datang bersama pasukan dan terima kasih kepada TSG kerana memberikan peluang kepada saya," katanya.

Selain Meijers, TSG turut membariskan lima lagi tonggak import termasuk Carlos Quintero (Colombia), Metkel Eyob (Eritrea), Goh Choon Huat (Singapura), Artem Ovechkin (Rusia), dan Youcef Reguigui dari Algeria.

Manakala pelumba tempatan diketuai Zamri dan adiknya, Harrif Saleh, Wan Abdul Rahman Hamdan, Irwandie Lakasek, Muhammad Aiman Mohd Zariff dan Mohamad Afiq Huznie Othman, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan Mohd Shahrul Mat Amin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 1:08 PM