KETUA Pegawai Eksekutif TSG, Nasiruddin Wan Idrus. FOTO Malik Muhamad
KETUA Pegawai Eksekutif TSG, Nasiruddin Wan Idrus. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pasukan ranking nombor satu Asia, Terengganu Cycling Team (TSG) bakal berentap dalam Jelajah Almaty di Kazakhstan pada 28 Ogos ini sebagai penutup tirai musim ini.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, seramai tujuh pelumba diketuai Mohd Zamri Saleh bakal beraksi dalam perlumbaan bertaraf 2.1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.

Katanya selain Zamri, turut bakal menggalas cabaran kelab dari Terengganu itu pelumba meningkat naik, Nur Aiman Zariff, Shahrul Mat Amin

serta empat pelumba import iaitu Jambaljamts Sainbaya, Artem Ovechkin, Metkel Eyob dan Jeroen Meijers.

"Perlumbaan di Kazakhstan ini menjadi penutup tirai musim 2021 sebelum saingan musim baharu 2022 bermula pada September atau Oktober.

"TSG meletakkan sasaran untuk mengekalkan rentak cemerlang dengan sekurang-kurangnya satu kedudukan podium dalam kejohanan dua hari itu," katanya yang mengakui sepatutnya beberapa lagi siri kejohanan luar negara berlangsung tetapi ditangguhkan sehingga November dan Disember ekoran pandemik Covid-19.

TSG kini mengutip 850 mata dalam ranking Asia jauh meninggalkan Vino-Astana Motors (204 mata) di kedudukan kedua selepas kejayaan membanggakan pada Jelajah Turki dan Rwanda dengan meraih 21 podium sekali gus berada di ranking ke-31 dunia.

Tahun lalu, TSG yang membariskan 14 pelumba termasuk enam pelumba import musim ini mengakhiri kedudukan di tangga kedua ranking Asia di belakang satu lagi pasukan dari Malaysia, Team Sapura Cycling (TSC).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 12:50 PM