BARISAN pelumba TSG yang menyertai Tour of Thailand. FOTO IHSAN TSG
BARISAN pelumba TSG yang menyertai Tour of Thailand. FOTO IHSAN TSG
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pasukan berbasikal bertaraf benua, Terengganu Cycling Team (TSG) memasang impian besar untuk terus mendominasi gelaran nombor satu Asia buat empat tahun berturut-turut dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, dalam usaha untuk melebarkan rekod pencapaian berkenaan, sekurang-kurangnya 42 perlumbaan berada dalam 'radar' pasukan untuk diharungi pada musim ini.

TSG mencipta hatrik merangkul kedudukan nombor satu Asia tiga tahun berturut-turut pada 2021, 2022 dan 2023 selain pernah meraih gelaran sama pada 2012 dan 2019.

"Kita dah kenal pasti beberapa perlumbaan antaranya Jelajah Turkiye pada April, Jelajah Kumano dan Jelajah Jepun pada Mei dengan TSG turut akan sertai Jelajah Algeria dalam bulan sama.

"Banyak lagi perlumbaan, kita akan harungi jadual yang padat tahun ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Berdasarkan ranking dikeluarkan UCI, pasukan berpangkalan di Kuala Terengganu itu mengungguli kedudukan pertama dengan meraih 313 mata, meninggalkan pasukan bertaraf benua dari Thailand, Roojai Insurance (262 mata) diikuti wakil Jepun, JCL Team UKYO (241 mata).

Pada masa sama, Nasiruddin optimis pasukannya berada di landasan tepat untuk mengekalkan gelaran tersebut dengan mengumpul sebanyak mungkin mata sebelum kalendar UCI 2024 ditutup pada Oktober.

"Bagi fasa satu (Januari hingga Mac), TSG sudah sertai 10 perlumbaan dengan meraih lebih 300 mata. Ikutkan pada rekod sebelum ini lebih 1,000 mata dikutip pada akhir musim jadi saya boleh katakan kita dalam landasan itu.

"Berbekalkan barisan pelumba sedia ada, kita yakin ia dapat dilakukan," katanya.

Sebelum ini, TSG mengumumkan beberapa muka baharu terdiri daripada pelumba import dari Cyprus, Andreas Miltiadis dan Merhawi Kudus Ghebremedhin dari Eritrea bagi mengisi kekosongan ditinggalkan pelumba musim lepas, Jambaljamts Sainbayar (Mongolia) dan Jeroen Meijers (Belanda) bagi mengharungi saingan lebih mencabar musim ini.

TSG turut diperkuatkan dengan kehadiran pelumba negara, Muhammad Nur Aiman Rosli yang menyertai pasukan itu untuk tempoh setahun.

Lapan pelumba tempatan dalam pasukan TSG musim ini ialah Mohamed Harrif Saleh, Irwandie Lakasek, Nur Aiman Mohd Zariff, Wan Abdul Rahman Hamdan, Zuladri Amin Zulkurnain, Kee Zhe Yie, Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki sebagai kapten pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 6:44 PM