Datuk Seri Ahmad Ismail. FOTO File NSTP
Datuk Seri Ahmad Ismail. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kini dalam keadaan parah disebabkan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail berhasrat membawa Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) ke muka pengadilan.

Ia disifatkan sebagai tindakan terdesak untuk menutup keaiban dan kelemahan diri sendiri selepas Ahmad atau Tok Mat mengalami kekalahan teruk tanpa mendapat sebarang undi ketika Kongres Astaf berlangsung minggu lalu.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Perlis, Syed Araniri Syed Ahmad Al Edroos berkata, kekalahan teruk itu sepatutnya tidak dijadikan batu loncatan untuk menyalahkan atau menghentam Astaf sebaliknya diambil peluang serta ruang bermuhasabah diri untuk bangkit kembali pada masa depan.

"Kami melihat tindakan terdesak ini sebenarnya secara tidak langsung membuka keaiban dan pekung di dada hingga memberi ruang kepada negara anggota Astaf menilai sikap dan gaya kepimpinan yang dimiliki atau diamalkan oleh pihak terdesak.

"Cukup-cukuplah terlalu banyak menuding jari kepada pihak lain dengan tujuan menampakkan kekuatan kita walhal sikap sedemikian jelas menikam diri kita sendiri di mana akan menghakis kepercayaan dan kehormatan negara anggota Astaf terhadap Malaysia," katanya.

Menurutnya, tiada seorangpun wakil negara yang menjawat jawatan dalam Astaf itu amat jelas menampakkan kelemahan dan kepincangan sebuah organisasi sukan yang bertanggungjawab terhadap hala tuju serta perancangan masa depan sepak takraw negara.

"Sikap menunjuk akulah hero dan tidak mahu mengaku kalah hanya akan merosakkan kredibiliti, maruah dan martabat Malaysia sebagai pelopor sukan sepak takraw dunia.

"Kekalahan teruk 30-0 untuk ketiga-tiga jawatan yang ditandingi juga jelas menampakkan rasa tidak puas hati dan kurang senang kebanyakan negara anggota di mana hampir melebihi majoriti dua pertiga dari jumlah negara anggota Astaf tidak menyokong wakil negara," katanya.

Dalam kongres Astaf yang berlangsung 1 Mac lalu, Tok Mat tewas secara mutlak kepada penyandang jawatan presiden, Datuk Abdul Halim Kader manakala Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh juga tidak menerima sebarang undian tewas kepada wakil Thailand, Charlem Chaiwatcharaporn yang menerima 30 undi dan wakil India, Yogender Singh Dahiya yang menerima 29 undian bagi jawatan Timbalan Presiden.

Ahli Majlis PSM, Yusoff Ali melengkapkan hari suram Malaysia pada Kongres Astaf selepas tewas bagi pemilihan jawatan Ahli Majlis Astaf dan dia juga tidak diberikan sebarang undian pada pemilihan kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 6:41 PM