ABDUL Halimmenunjukkan surat penarikan diri sebagai ahli gabungan PSM pada sidang media di Johor Bahru. - FOTO Rizar Mohd Noor
ABDUL Halimmenunjukkan surat penarikan diri sebagai ahli gabungan PSM pada sidang media di Johor Bahru. - FOTO Rizar Mohd Noor
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Selepas Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak) membuat keputusan menarik diri daripada menjadi ahli gabungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), kini Persatuan Sepaktakraw Johor (PSJ) turut melakukan perkara sama berkuat kuasa hari ini.

Presiden PSJ, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, bukan sahaja menarik diri dalam PSM, malah beliau yang memegang jawatan selaku Naib Presiden I PSM yang disandang sejak tiga tahun lalu mengesahkan meletak jawatan dalam badan induk sepak takraw negara.

"Selepas berbincang dengan 18 ahli jawatankuasa PSJ, kami sebulat suara mengambil pendekatan keluar secara rasmi sebagai ahli gabungan PSM dan saya juga meletak jawatan selaku Naib Presiden I, PSM serta merta.

"Kami dah bosan dengan drama dicetuskan Datuk Ahmad Ismail. Kalau dah kena gantung oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) sudah tentu beliau bukan lagi Presiden PSM. Tak payah nak terhegeh-hegeh panggil mesyuarat.

"Mesyuarat sepatutnya diuruskan Timbalan Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz tapi sampai sekarang tiada dipanggil. Mesyuarat itu penting untuk kami ahli gabungan PSM mendapat maklumat terperinci hala tuju PSM selepas presiden digantung pada 5 Mei lalu," katanya.

Pada 5 Mei lalu, Ahmad dikenakan hukuman penggantungan selama 15 tahun manakala pengurusan PSM digantung sementara pada 28 April lalu.

Selain digantung 15 tahun, Ahmad turut didenda AS$25,000 (RM102,937) bagi menampung kos perbicaraan yang berlangsung secara maya dan dihadiri wakil dari India, Iran, Jepun dan Pakistan.

Sebelum itu, Astaf mengambil tindakan menggantung sementara PSM daripada terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan itu berkuat kuasa serta-merta, atas dakwaan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Ditanya sama ada 15 persatuan sepak takraw negeri lain akan turut sama mengikuti jejak PSJ dan Gastak, Abdul Halim berkata, terserah kepada budi bicara persatuan masing-masing kerana beliau tidak akan hasut.

Katanya, langkah PSJ itu adalah untuk memastikan sukan sepak takraw dibangunkan menerusi kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) yang sedia untuk turut membantu meningkatkan lagi permainan sukan itu.

"Sepatutnya Datuk Ahmad perlu akur dengan tindakan penggantungan oleh Astaf selepas beliau berdiam diri. Eloklah letak jawatan secara terhormat dan jangan keruhkan lagi situasi kerana kami ingin pembangunan sukan sepak takraw diteruskan," kata Abdul Halim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 5:08 PM