Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Pembangunan Astaf, Dr Mohammad Omar. FOTO Malik Muhamad
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Pembangunan Astaf, Dr Mohammad Omar. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Arwah (Datuk Seri Zolkples Embong) pernah memaklumkan kekecewaannya mengenai prestasi sukan sepak takraw negara sejak akhir-akhir ini.

"Malah sebagai rakan sekelas ketika belajar di Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur, arwah juga menyuarakan kekecewaannya dengan kemelut yang melanda Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

"Paling mendukacitakannya apabila berlaku krisis antara PSM dengan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) sehingga menyebabkan PSM disingkirkan daripada naungan Astaf pada Mei lalu selain tiada seorangpun wakil Malaysia ketika itu terpilih dalam jawatankuasa Astaf dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf)," kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sukan dan Pembangunan Astaf yang baharu dilantik, Dr Mohammad Omar.

Dr Mohammad yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) berkata, berikutan kekecewaan dan cintakan sukan itu, arwah sanggup berkorban demi memulihkan sukan sepak takraw negara apabila dipilih memegang jawatan Naib Presiden Persatuan Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak) walaupun sudah bersara daripada jawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN).

"Sejak arwah bergelar Timbalan Ketua Pengarah MSN lagi, arwah sangat mengambil berat perkembangan sukan sepak takraw negara, kebetulan pada masa itu saya memegang jawatan Naib Presiden PSM, pengurus pasukan sepak takraw negara, pengerusi jawatankuasa pertandingan PSM dan pengurus Projek Gemilang 2001 MSN bagi sukan sepak takraw, jadi saya banyak berkongsi ilmu dengan arwah.

"Sasaran yang arwah selalu titik beratkan adalah perlu kalahkan Thailand dalam saingan kompetitif iaitu Sukan Sea, Sukan Asia dan Piala Raja Thai, jadi arwah yang aktif bermain sepak takraw terutama ketika zaman persekolahan sentiasa mengikuti rapat perkembangan sukan ini, begitu juga ketika arwah menjadi Ketua Pengarah MSN dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sukan Sea 2017 dengan sentiasa berbincang dan memberi tip-tip untuk kemajuan semua sukan termasuk sepak takraw.

"Malah empat hari sebelum meninggal dunia, melalui talian saya sempat berbincang dengan arwah mengenai perkembangan terbaharu PSM yang dikatakan lapan ahli gabungan membuat pusingan U dan kembali bersama PSM, maknanya arwah sentiasa mengikuti rapat perkembangan sukan sepak takraw negara sehinggalah pada saat-saat akhir hayatnya.

"Bagaimanapun hasrat arwah yang juga peminat tegar pasukan Manchester United (MU) untuk menaikkan kembali imej pasukan sepak takraw negara terutama pada pentas Asean dan Asia tidak kesampaian selepas meninggal dunia di rumahnya di Pandan Indah, Kuala Lumpur pada pagi Ahad lalu.

"Namun jasa arwah cukup besar bukan sahaja dalam sukan sepak takraw kebangsaan dan negeri, malah dalam sukan yang lain termasuk sukan berbasikal terutama ketika membawa pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Datuk Azizulhasni Awang berlatih di Melbourne, Australia bawah kendalian John Beasley," kata Dr Mohammad yang mengakui arwah begitu gembira dengan pencapaian Jijoe.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 8:24 PM