QUINTERO (tengah) dan Eyob (kanan) berjaya mengharumkan nama TSG di bumi Turki. FOTO Ihsan Sharon Jane
QUINTERO (tengah) dan Eyob (kanan) berjaya mengharumkan nama TSG di bumi Turki. FOTO Ihsan Sharon Jane
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Terengganu Cycling Team (TSG) sekali lagi cemerlang di bumi Turki apabila pelumbanya, Carlos Quintero memenangi Grand Prix (GP) Velo Alanya, hari ini.

Lebih manis, penamat ketiga juga disambar oleh pelumba TSG, Metkel Eyob.

Menerusi laluan sejauh 106 kilometer (km) yang menawarkan cabaran pendakian itu, Quintero mempamerkan kayuhan bertenaga untuk melepasi garisan penamat selaku pemenang.

Kejayaan Quintero itu hadir sehari selepas rakan sepasukannya yang juga jaguh pecut negara, Harrif Saleh memenangi GP Manavgat semalam sekali gus muncul pelumba pertama negara memenangi saingan di Eropah.

Harrif berjaya mengekalkan aksi konsisten meskipun tidak beraksi selama setahun sejak mencipta sejarah memenangi dua peringkat perlumbaan di Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lalu.

Harrif bagaimanapun tidak beraksi pada saingan hari ini.

Selain GP Velo Alanya, TSG masih berbaki dua lagi perlumbaan iaitu GP Mediterranean pada 6 Mac depan dan GP Gundogmus pada 7 Mac sebelum berangkat pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 11:13 PM