HARRIF sasar podium di Turki.
HARRIF sasar podium di Turki.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Cuaca sejuk serta laluan berbukit bakal menjadi cabaran getir buat sembilan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) dalam misi memburu podium sepanjang enam kejohanan di Turki bermula Sabtu ini.

Demikian reaksi kapten baharu TSG, Harrif Saleh, 32 yang enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi tapi tetap menyasarkan podium dalam kalendar pertama pasukannya musim ini.

"Ketiadaan perlumbaan kompetitif hampir setahun lalu membuatkan secara peribadi saya perlu realistik untuk memburu sebarang podium lebih-lebih lagi kita tahu cuaca di sana sejuk dan berbukit.

"Perlumbaan terakhir saya adalah Le Tour de Langkawi (LTdL) musim lalu, jadi untuk perlumbaan pertama pada Sabtu ini iaitu Grand Prix (GP) Alanya, saya lebih cenderung untuk mendapatkan semula rentak sebelum memburu podium dalam perlumbaan kedua hingga keenam.

"Bagi saya untuk zon pecutan mungkin tidak ada masalah besar dan apabila mendapat rentak saya harap boleh memberi sumbangan kepada pasukan untuk memburu kedudukan terbaik dalam perlumbaan berstatus 1.2 itu.

"Namun saya harapkan pelumba lain termasuk Nur Aiman Zariff, Irwandie Lakasek, Wan Abdul Rahman Hamdan dan lima pelumba import mampu memahat nama bermula perlumbaan pertama," kata pelumba berpengalaman itu ketika ditemui sebelum berlepas ke Kuala Lumpur kelmarin.

Ketika ditanya ketiadaan empat lagi pelumba tempatan mungkin akan menjejaskan misi pasukan, Raja Pecut itu yang mengetuai kem pasukan selepas kapten sebelum ini yang juga abangnya, Zamri tidak menyertai rombongan ke Turki berikutan Jelajah Rwanda ditunda pada Mac depan akui semua pelumba ada kekuatan masing-masing.

"Ini percaturan pasukan kerana selepas ini akan ada siri perlumbaan di Thailand yang dijangka berlangsung pada April," katanya.

Selain GP Alanya, pelumba TSG yang 'berkampung' selama 40 hari di Turki turut akan bersaing dalam GP Gazipasa (7 Februari), GP Velo Manavgat (20 Februari), GP Velo Alanya (21 Februari), GP Mediterranean (6 Mac) dan terakhir GP Gundogmus pada 7 Mac sebelum bertolak ke Malaysia sehari selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 2:05 PM