SARJIT (tengah) berkata, fasa latihan seterusnya menyaksikan 30 pemain terbaik akan terpilih. FOTO AIZUDDIN SAAD
SARJIT (tengah) berkata, fasa latihan seterusnya menyaksikan 30 pemain terbaik akan terpilih. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jurulatih skuad hoki senior negara Sarjit Singh memberi bayangan bahawa sudah mempunyai kira-kira 18 pemain terbaik untuk menyertai fasa kedua kem latihan pasukan kebangsaan bermula bulan depan.

Beliau berkata, 18 yang terpilih itu adalah hasil daripada tapisan 46 pemain sekali gus menyaksikan hanya yang layak saja diberikan peluang dan ruang untuk berada di fasa terakhir.

"Sambutan dan kehadiran pemain hoki adalah cukup baik. Terdapat beberapa pemain yang menunjukkan corak permainan memuaskan dan terbaik.

"Pemain bermain dengan sangat baik dan saya harap ini berterusan dalam baki perlawanan akan datang," katanya.

Mengikut rekod, seramai 46 pemain yang menyertai latihan fasa pertama dibahagikan kepada tiga pasukan berbeza seterusnya akan beraksi membabitkan lapan perlawanan.

Secara keseluruhan mereka akan bermain 480 minit dengan pemain akan mempunyai masa bermain minimum 320 minit.

Selain itu, beliau berkata, fasa latihan seterusnya menyaksikan 30 pemain terbaik akan terpilih dengan latihan akan bermula 1 April ini.

"Walaupun masih terlalu awal, kami sudah mengenal pasti 18 pemain yang akan masuk ke dalam skuad 30.

"Sekarang ini hanya berbaki 12 pemain saja lagi yang akan membentuk senarai akhir 30 pemain." katanya.

Selain itu, beliau yang juga bekas kapten skuad kebangsaan mengakui bukannya mudah untuk memilih barisan pemain terbaik memandang rata-rata yang menyertai pemilihan itu mempamerkan aksi memukau.

"Saya mengakui untuk memilih baki 12 pemain cukup sukar kerana semuanya mempunyai potensi dan bakat masing-masing.

"Oleh itu senarai akhir akan diumumkan pada hujung bulan ini sebaik sesi pemilihan fasa pertama selesai dengan sekarang ini terdapat sekurang-kurangnya lima baki perlawanan perlu ditempuhi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 3:01 PM