STEPHEN (dua dari kiri) ketika sesi latihan.
STEPHEN (dua dari kiri) ketika sesi latihan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas segala ruang dan peluang diberikan kepada skuad hoki negara, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengharapkan keputusan cemerlang pada saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT), dijadual 20 hingga 30 Oktober ini.

Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal berkata, ACT yang akan berlangsung di Kuantan, Pahang sememangnya cukup penting dalam kalendar badan induk itu tahun ini dan atas faktor berkenaan, skuad negara diberi pendedahan beraksi pada siri Jelajah Oceania serta siri perlawanan persahabatan dengan Jepun.

“Selepas ini barisan pemain skuad negara akan beraksi pada Liga Hoki Malaysia sebelum beraksi di Liga Australia.

“Mereka kemudian kembali semula ke Malaysia untuk beraksi di ACT. Ingin saya tegaskan kejohanan ini cukup penting,” katanya.

Jelas Subahan, meskipun belum ada sasaran tertentu, namun beliau percaya ketua jurulatih Stephen Van Huizen mempunyai sasaran tersendiri.

“Sasaran akan ditentukan jurulatih, sama seperti kita meraih tempat keempat di Piala Sultan Azlan Shah.

“Apapun selepas memberi banyak peluang kepada barisan pemain negara, kita sepatutnya mampu memperoleh keputusan bagus di ACT.

“Ketika kejohanan itu, semua pasukan baru saja menyertai Sukan Olimpik. Saya tidak pasti sama ada mereka akan menghantar barisan pemain terbaik atau tidak.

“Tapi impian saya adalah untuk melihat skuad negara menamatkan saingan dalam kelompok kedua terbaik,” katanya.

Selain Malaysia, lima lagi pasukan yang bakal beraksi adalah India, Korea Selatan, Pakistan, Jepun dan China.

Skuad negara sekadar meraih tempat ketiga pada tiga edisi sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 6:07 AM