AKSI perlawanan persahabatan kedua menentang Korea Selatan dalam siri jelajah persahabatan. -FOTO MHC
AKSI perlawanan persahabatan kedua menentang Korea Selatan dalam siri jelajah persahabatan. -FOTO MHC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali skuad hoki negara Arul Selvaraj berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan barisan pemain muda selepas mengharungi dua perlawanan persahabatan dalam siri jelajah persahabatan menentang Korea Selatan.

Arul berkata, barisan pemain terbabit mempamerkan peningkatan memuaskan terutama membabitkan kemahiran individu sekali gus petanda positif menjelang Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia yang akan berlangsung pada 3 hingga 12 Ogos di Chennai,India.

Beliau berkata, walaupun tewas 2-3 kepada Korea Selatan pada perlawanan persahabatan kedua semalam namun itu tidak akan melemahkan barisan anak buahnya untuk tampil lebih meyakinkan pada baki perlawanan persahabatan pada esok dan Selasa ini.

"Satu persembahan individu yang bagus ditunjukkan pemain muda yang baru saja diserap dalam skuad kebangsaan. Pemain seperti Muhammad Marhan Mohd Jalil, Muhammad Syafiq Hassan dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar cukup baik.

"Secara keseluruhan, terdapat beberapa bahagian yang dilihat kita berjaya mengawal dengan baik walaupun kita menggunakan struktur baru.

"Pemain pula mempamerkan aksi yang matang sekali gus dilihat mereka mampu berhadapan dengan tekanan tinggi untuk perlawanan akan datang," katanya.

Terdahulu, skuad hoki lelaki kebangsaan mensia-siakan kelebihan dua gol di awal permainan sebelum mereka tumpas tipis 2-3 kepada Korea Selatan, dalam siri jelajah persahabatan yang berlangsung di Pusat Latihan Nasional Jingcheon, Incheon.

Penyerang berpengalaman, Faizal Saari beraksi cemerlang dengan meledakkan jaringan padang seawal minit kelima untuk meletakkan pasukan negara di depan, sebelum diikuti jaringan gol padang oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-12.

Bagaimanapun, kegembiraan pasukan negara tidak bertahan lama apabila pasukan tuan rumah bangkit pada minit ke-45 hasil untuk mengutip gol pertama daripada pukulan sudut penalti dan menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang seminit kemudian.

Korea Selatan mengesahkan kemenangan pertama mereka dalam siri jelajah persahabatan kedua tersebut menerusi jaringan padang, enam minit sebelum waktu sebenar tamat, selepas seri dengan Malaysia 2-2 dalam aksi sulung, lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 12:35 PM