AKSI perlawanan kedua skuad hoki negara menentang Ireland. -FOTO Ihsan MHC
AKSI perlawanan kedua skuad hoki negara menentang Ireland. -FOTO Ihsan MHC
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki senior negara berjaya menebus kekecewaan tewas 2-3 kepada Ireland semalam apabila menewaskan lawan sama 4-2 pada perlawanan hari ini di Lisnagarvey Hockey Club.

Pengendali Malaysian Tigers, Arul Selvaraj nyata berpuas hati dengan prestasi barisan pemainnya yang mengambil ikhtibar daripada kekalahan pada aksi pertama untuk mencari kemenangan dalam aksi kedua bertemu Ireland.

"Satu persembahan yang betul-betul memberangsangkan dan positif untuk mereka bangkit kembali daripada kekalahan semalam. Kami mendapat tiga kelebihan pukulan sudut penalti dan (Muhammad) Razie Rahim menjaringkan dua daripadanya sementara Ireland dihadiahkan dengan lebih banyak pukulan sudut penalti berbanding kami.

"Jaringan gol padang menerusi Azrai Aizad (Abu Kamal) dan (Muhammad) Najib Hassan juga menunjukkan dalam pasukan kami ramai pemain yang boleh menjaringkan gol padang.

"Esok kami akan bertolak ke Cardiff untuk dua aksi perlawanan ujian bertemu pasukan Wales dan harapan kami adalah pemain dapat beraksi dengan tenaga, motivasi dan kemahuan yang sama seperti hari ini untuk mendapatkan kemenangan seterusnya," katanya.

Empat gol yang dihasilkan oleh Malaysian Tigers bermula dengan dua jaringan berturut-turut daripada pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim minit ke-11 dan ke-12.

Azrai Aizad menambah jaringan ketiga buat kem negara menerusi gerakan padang minit ke-15 sebelum Najib melengkapkan gol kemenangan Malaysia minit ke-22, juga menerusi jaringan padang.

Skuad negara bagaimanapun terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal Ireland minit ketiga menerusi gol padang Jeremy Duncan.

Dua minit sebelum masa perlawanan berakhir, Ireland menambah satu lagi gol hasil kelebihan pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Luke Madeley.

Skuad negara akan meneruskan aksi siri Jelajah United Kingdom bertemu Wales, Sabtu ini di Wales Hockey Centre.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 12:41 PM