SKUAD hoki menewaskan Ireland.
SKUAD hoki menewaskan Ireland.
Saiful Affendy Sapran


SKUAD hoki lelaki negara terus mempamerkan prestasi positif apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Ireland pada Kejohanan Jemputan Empat Negara di Terrassa, Sepanyol awal pagi tadi.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut diraih skuad bimbingan Roelant Oltmans selepas menewaskan pasukan ranking kesembilan dunia, Sepanyol 4-3 semalam.

Ireland di depan seawal minit ke-9 selepas Shane O'Donoghue menyempurnakan pukulan sudut penalti namun Fitri Saari menyamakan kedudukan beberapa saat kemudian hasil jaringan padang.

Muhammad Razie Abd Rahim menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-33 dan gol kedua itu sudah cukup untuk memastikan Malaysian Tigers meraih kemenangan mutlak.

Kejohanan Jemputan Empat Negara adalah sebahagian daripada jadual yang perlu dilengkapi pada siri jelajah Eropah.

Untuk rekod, skuad negara mula mempamerkan aksi meyakinkan sejak perlawanan persahabatan pertama siri jelajah Eropah yang menyaksikan Malaysia mengejutkan Jerman 4-2.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 9:46 AM