PEMAIN THT, Abdul Khalid Hamirin (kanan) diasak Pemain UITM, Mohd Khairul Ikhwan (kiri) pada perlawanan Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk, semalam. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN THT, Abdul Khalid Hamirin (kanan) diasak Pemain UITM, Mohd Khairul Ikhwan (kiri) pada perlawanan Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk, semalam. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketenangan selain penguasaan bola berterusan adalah kunci kemenangan Pasukan Hoki Terengganu (THT) membenam cabaran skuad UiTM HA pada aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB) petang semalam.

Itu rumusan pengendali skuad The Turtles itu, Roslan Jamaluddin selepas anak buahnya berjaya memperagakan aksi terbaik selain tidak tertekan sepanjang perlawanan walaupun hanya menyenaraikan empat pemain di bangku simpanan dalam aksi penting itu.

Malah bekas penjaga gol kebangsaan itu turut memuji barisan pertahanan yang konsisten mematahkan gerakan pasukan lawan bermula pada awal saingan lagi walaupun beraksi dalam keadaan hujan.

"Pemain lebih tenang dan banyak bersabar supaya tidak mudah hilang tenaga selain kita fokuskan kepada penguasaan bola dan pada masa sama juga kita berusaha untuk mencari jaringan awal walaupun hanya menyenaraikan 15 pemain sahaja beraksi kerana faktor kecederaan.

"Lagipun saya tidak mahu mengambil risiko menyenaraikan pemain yang cedera, hasilnya taktikal kita menjadi untuk mengutip mata penuh dalam aksi kesembilan liga itu," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan petang semalam.

Dalam perlawanan yang berkesudahan kemenangan berpihak kepada THT 4-1 itu, penyerang kebangsaan, Faizal Saari membuktikan bisanya apabila meledak hatrik dan satu gol lagi dijaringkan Ismail Abu manakala gol saguhati pelawat diperoleh menerusi jaringan Danial Asyraf Abdul Ghani.

Walau bagaimanapun impian THT untuk kekal dipersada liga tidak kesampaian apabila dirampas kembali pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan perbezaan satu mata dengan THT di tangga kedua dengan 23 mata.

Sementara itu pemain pertahanan THT, Sukri Mutalib akui dia dan rakan sepasukan terpaksa bekerja lebih keras menahan asakan lawan selain mengelak daripada sebarang kecederaan bagi memastikan misi memburu tiga mata dapat dicapai.

"Alhamdulillah perancangan ketua jurulatih menjadi pada hari ini (semalam) walaupun perlu bekerja lebih keras selain rakan sepasukan bijak untuk menguasai permainan, apa kami buat adalah memperlahankan tempo perlawanan dan membiarkan pihak lawan datang ke kawasan berbahaya sebelum kami melancarkan serangan balas.

"Kemenangan ini cukup menggembirakan dengan saingan MHL berbaki tiga perlawanan lagi bagi meneruskan tekanan ke atas TNB," katanya yang mengharapkan rakan sepasukannya, Arif Syafie Ishak, Shello Silverius, Syarman Mat Tee dan Abid Suffian Mat Ruslee cepat sembuh daripada kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 2:18 PM