GAYA Messi selepas tamat perlawanan menentang Juventus. FOTO AFP
GAYA Messi selepas tamat perlawanan menentang Juventus. FOTO AFP
Agensi

London: Bintang Barcelona, Lionel Messi boleh dianggap Harry Potter bola sepak, menurut Christian Vieri.

Messi membantu Ousmane Dembele meledak gol pembukaan dan menjaringkan gol kedua menerusi penalti ketika menentang Juventus dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Pemenang enam kali Ballon d'Or itu kerap mengucar kacirkan pertahanan Juve menerusi hantaran tepat dan sukar dibendung lawan.

Vieri yang menjuarai Serie A bersama Juve pada 1996-97 dan 49 kali beraksi bersama Itali, mengagumi sumbangan Messi di Turin.

"Barcelona yang hebat. Mereka sepatutnya dapat menjaringkan enam atau tujuh gol dengan mudah dan mereka bermain dengan fantastik,'' katanya kepada CBS Sports.

"Messi seperti ahli silap mata, dia Harry Potter dalam bola sepak dan apabila dia berhenti bermain, saya mungkin campak televisyen saya. Tak perlu lagi televisyen kerana apabila dia berhenti, tiada apa lagi dapat disaksikan."

Bintang Argentina itu membantu Barca mendominasi perlawanan ketika Juve gagal membuat percubaan tepat dalam aksi Liga Juara-Juara di tempat sendiri, kali pertama sejak 2003-04–

Vieri kagum dengan prestasi Barcelona: "Ia satu lagi bola sepak dan permainan yang berbeza.

"Saya tak tahu bagaimana mereka boleh tewas kepada Real Madrid, tetapi jika anda lihat cara mereka bermain menentang Juventus, anda akan menganggap mereka tidak akan tewas kepada mana-mana kelab tahun ini. Ia mustahil berdasarkan permainan mereka.

"Setiap perlawanan berbeza tetapi Barcelona yang saya dan anda nampak memang hebat. Apabila anda memiliki nombor 10 seperti itu, ia memang gila.

"Agak sedih apabila tiada penonton kerana mereka sepatutnya menyaksikan persembahan pasukan hebat seperti itu."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 2:20 PM