LIONEL MESSI
LIONEL MESSI
AFP

BARCELONA: Lionel Messi mengakui dia terkejut dengan keputusan Cristiano Ronaldo meninggalkan Real Madrid dan menyertai Juventus.

Messi turut berpendapat perpindahan itu akan memberi kesan buruk kepada Madrid dan berkata, Juve kini antara pilihan utama untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini.

Ronaldo meninggalkan Sepanyol untuk ke Itali membabitkan perjanjian bernilai 100 juta euro (RM479.5 juta) Julai lalu, selepas merangkul kejuaraan Eropah ketiga berturut-turut, dan keempat dirinya sepanjang tempoh lima tahun bersama Real.

Tetapi Messi, yang tidak disenarai pendek untuk anugerah pemain terbaik FIFA semalam, merasakan keseimbangan sudah berubah berikutan pemergian pemain 33 tahun dari Portugal itu.

“Saya terkejut, saya pernah membayangkan dia akan meninggalkan Madrid atau dia akan ke Juve kerana banyak kelab yang berminat. Hakikatnya saya amat terkejut tetapi Juve juga adalah pasukan yang sangat baik,” kata Messi.

“Real Madrid adalah antara sebuah pasukan terbaik di dunia dan mereka mempunyai skuad yang hebat tetapi jelas sekali ketiadaan Ronaldo mengurangkan kekuatan mereka, manakala Juve menjadi pilihan utama untuk Liga Juara-Juara.

“Mereka sudah mempunyai pasukan yang bagus dan kini mereka juga mempunyai Cristiano Ronaldo.”

Penguasaan Madrid di pentas Eropah memberikan kegagalan lebih sukar ditelan Barcelona dan kekalahan mengejut kepada AS Roma pada April lalu menyaksikan mereka tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara buat musim ketiga berturut-turut.

Malah kejuaraan La Liga dan Piala Raja Sepanyol untuk trofi domestik berganda musim lalu tidak cukup untuk menebus kekecewaan berkenaan.

“Tiba masanya untuk menang Liga Juara-Juara. Saya rasa kami perlu mencapainya, sebagai sebuah kelab dan sebagai sebuah pasukan. Kami mempunyai skuad yang hebat dan kami mampu melakukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 8:29 AM