DAUD Bakar bersyukur isu tunggakan gaji musim 2023 diselesaikan. FOTO Facebook Daud Bakar
DAUD Bakar bersyukur isu tunggakan gaji musim 2023 diselesaikan. FOTO Facebook Daud Bakar
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar meluahkan rasa syukur dan gembiranya selepas isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan Sang Kenari sejak musim lalu akhirnya selesai.

Mohd Daud yang juga tokoh kewangan syariah berkata selepas menempuh cabaran dan rintangan ketika berdepan tunggakan gaji pada musim lalu, akhirnya KDA FC menunaikan tanggungjawabnya untuk menyelesaikan isu berkenaan sepenuhnya.

"Hari ini hari paling gembira buat saya kerana berjaya melunaskan hutang gaji tertunggak kepada pemain dan pegawai KDA FC bagi tahun 2023.

"Saya tahu mereka dan keluarga mereka banyak menghadapi kesukaran disebabkan kelemahan saya. Tapi mereka amat penyabar.

"Sejak lapan bulan yang lalu, saya rungsing, sedih dan penat minda kerana gagal melaksanakan tanggungjawab namun hari ini saya boleh senyum semula. Saya gembira kerana berjaya menunaikan tanggungjawab dunia dan agama iaitu gaji kepada mereka yang berhak," katanya melalui luahan di laman media sosial miliknya semalam.

Mohd Daud juga melahirkan rasa terharu di atas kesabaran yang ditunjukkan pemain dan penyokong yang terus yakin dengan apa yang dilakukan pengurusan meskipun dalam keadaan dilanda masalah kewangan musim lalu.

"Saya gembira kerana peminat dan penyokong KDA FC menerima penjelasan dan pengumuman baru yang saya buat secara positif. Semua nak pakat bantu sekadar kemampuan masing-masing dan saya anggap inilah titik kegembiraan yang paling tinggi buat saya.

"Ini semuanya adalah rahmat yang sudah termaktub. Bila peminat dan penyokong bersama saya, segala kepenatan saya selama lapan bulan hilang begitu sahaja. Semoga saya dapat tidur lena buat pertama kali malam ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 2:10 PM