KDA FC disahkan bebas sekatan Fifa. FOTO FB KDA FC
KDA FC disahkan bebas sekatan Fifa. FOTO FB KDA FC
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyokong setia Hijau Kuning mampu menarik nafas lega apabila Kedah Darul Aman (KDA) FC disahkan boleh mendaftarkan pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.

Ia selepas KDA FC mengesahkan sudah menerima surat pengesahan penarikan balik sekatan perpindahan pemain daripada Fifa.

Menerusi perkongsian di laman Facebook KDA FC, surat pengesahan itu diterima kelab, semalam sekali gus memberi berita gembira buat penyokong Sang Kenari.

"Pihak pengurusan menegaskan, isu ini berbangkit kerana aspek teknikal yang boleh dielakkan sejak awal dan pihak pengurusan sudah menyelesaikan tuntutan bekas pemain pasukan Kedah musim 2020 dan 2021.

"Selaras dengan persiapan musim ini, pengesahan ini membolehkan pihak kelab membuat pendaftaran pemain baharu bagi saingan musim 2024/25," jelas KDA FC.

Badan bebas, First Instance Body (FIB) sebelum ini mengumumkan KDA FC dikenakan hukuman pemotongan tiga mata bagi pertandingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda RM 50,000 atas kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023.

KDA FC diberikan tempoh hingga 20 April ini untuk membuat pembayaran penuh tunggakan gaji itu atau mengemukakan bukti dokumen kewangan bagi menyelesaikan pembayaran.

Sekiranya gagal, maka lesen kebangsaan KDA FC boleh ditarik balik, seterusnya kelab itu tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim 2024-2025.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 9:49 PM