PENYOKONG KDA FC kembali bersemangat selepas isu tunggakan gaji diselesaikan pihak pengurusan sepenuhnya sebelum 20 April. FOTO Ihsan Facebook PSHJ
PENYOKONG KDA FC kembali bersemangat selepas isu tunggakan gaji diselesaikan pihak pengurusan sepenuhnya sebelum 20 April. FOTO Ihsan Facebook PSHJ
Izzali Ismail


Alor Setar : Penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini boleh 'tidur lena' selepas pembayaran tunggakan gaji musim 2023 yang diselesaikan pihak pengurusan seperti yang diumumkan semalam.

Berita gembira ini, sekali gus mengakhiri kerisauan penyokong yang tidak rela skuad kesayangan mereka gagal memperoleh lesen kebangsaan dan seterusnya hilang dalam radar saingan beraksi dalam Liga M pada musim ini.

Jurucakap Kelab Penyokong Setia Hijau Kuning (PSHK) Mohd Zahari Che Ros berkata, ia hari gembira buat mereka selepas menanti sejak beberapa bulan lalu untuk mendengar segala tunggakan akhirnya dapat diselesaikan pihak pengurusan KDA FC di bawah naungan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

"Pertama sekali apa yang kami boleh katakan adalah syukur Alhamdulillah kerana segala masalah tunggakan gaji yang membelenggu pasukan sejak musim lalu selesai dengan pengumuman pembayaran semalam.

"Jutaan terima kasih buat Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang tenang, sabar menghadapi ujian dan kemelut pada tahun 2023 ini. Sebagai penyokong setia hijau kuning, kami sentiasa mendoakan usaha yang terbaik untuk pasukan Kedah menghadapi saingan Liga super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim ini.

"Kami sangat menghargai kerja kuat dan usaha gigih pihak pengurusan KDA FC dalam menyelesaikan segala isu ini dan semoga pasukan Sang Kenari terus menyinar lagi pada musim baharu," katanya.

Mohd Zahari juga menyeru semua penyokong Sang Kenari agar membuktikan kesetiaan mereka selama ini dengan hadir ke Stadium Darul Aman pada minggu hadapan menyaksikan perlawanan pramusim Kedah menentang Negeri Sembilan FC.

"Sebagai penyokong yang berdiri teguh dengan pasukan, ayuh kita penuhkan Stadium Darul Aman dengan menyaksikan perlawanan pramusim Sang Kenari menentang Negeri Sembilan FC pada hari Rabu iaitu 24 April ini.

"Selain menyaksikan keseluruhan pemain Kedah termasuk pemain import baharu pada musim ini, kita juga dapat membantu pasukan melalui hasil jualan tiket yang akan menyumbang kepada pengukuhan kewangan kelab dan tidak mustahil stadium mampu penuh jika kita buktikan semangat pada hari perlawanan nanti," katanya.

Selain Negeri Sembilan FC, KDA FC juga dijadual menentang Perak FC pada 27 April, Penang FC (30 April) dan diikuti satu perlawanan menentang kelab dari luar negara pada 4 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 5:23 PM