PALMER berpindah dari City untuk menyertai Chelsea musim ini. -FOTO AFP
PALMER berpindah dari City untuk menyertai Chelsea musim ini. -FOTO AFP
Agensi

London: Penyerang Chelsea, Cole Palmer kini antara calon Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris susulan kempen memberangsangkan tahun ini.

Palmer mengharungi musim cemerlang selepas berpindah dari Manchester City yang akan menjadi lawan Chelsea di peringkat separuh akhir Piala FA esok.

Pemain 21 tahun itu meledak empat kali ketika kemenangan 6-0 Chelsea ke atas Everton pada Isnin, termasuk berebut sepakan penalti dengan rakan sepasukan untuk gol keempatnya.

Palmer mengambil sepakan penalti dengan cukup tenang dan ia pastinya berguna buat Man City sekiranya pemain itu masih bersama mereka ketika penentuan penalti menentang Real Madrid pada suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

City tersingkir di suku akhir selepas Bernardo Silva dan Mateo Kovacic gagal menyempurnakan sepakan penalti masing-masing.

Palmer kini sudah meledak 23 kali dalam semua pertandingan musim ini, termasuk 20 gol dalam 28 penampilan liga untuk berkongsi tangga teratas penjaring bersama penyerang City, Erling Haaland.

Palmer tidak pernah merungut selepas dijual City, tetapi kemenangan pada separuh akhir Piala FA pastinya menjadi kejayaan manis buatnya.

"Membuat keputusan untuk datang ke Chelsea sangat penting buat saya dan keluarga, tetapi saya hanya mahu bermain bola sepak.

"Saya berterima kasih kepada Chelsea di atas peluang ini. Saya sangat bersemangat," kata Palmer.

Selepas tewas kepada Liverpool pada final Piala Liga, Chelsea masih berpeluang memburu trofi domestik pertama sejak Piala FA 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 1:52 PM