AKSI skuad bawah B-23 menentang Uzbekistan. -FOTO FAM
AKSI skuad bawah B-23 menentang Uzbekistan. -FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui aksi kurang mantap yang dipamerkan skuad bawah 23 tahun (B-23) pada perlawanan pertama kumpulan D Piala Asia B-23 menentang Uzbekistan adalah di luar kawalan badan induk bola sepak itu.

Ketika ini penyokong bola sepak negara sudah mula 'berbunyi' dengan mengatakan harapan yang diletakkan FAM diletakkan skuad muda negara untuk layak Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai depan tidak lebih kepada angan-angan saja.

Timbalan Presiden FAM Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata, sasaran atau matlamat yang diletakkan kepada skuad B-23 negara itu sebagai motivasi kepada pemain untuk mempamerkan aksi terbaik.

"Kami mencuba untuk membuat persiapan sebaik mungkin dalam membentuk pasukan terbaik untuk menghadapi sesuatu kejohanan.

"Tetapi apa yang berlaku dalam kejohanan itu kadang-kadang di luar kawalan kita. Cuma daripada segi persediaan, saya fikir kami telah memberikan yang terbaik untuk jurulatih melakukan persediaan.

"Yang lainnya, dalam perlawanan akan menentukan sama ada pasukan mampu atau tidak mampu, layak atau tidak layak.

"Memang semua orang berharap kita layak ke Sukan Olimpik melalui pasukan ini tetapi pada akhirnya, kita perlu menyedari realiti bahawa kita bukan menghadapi pasukan yang lemah," katanya.

Sebelum ini, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin meletakkan harapan menggunung supaya skuad B-23 negara mampu melangkah ke separuh akhir dalam usaha merebut slot Olimpik Paris 2024.

Mengikut rekod, tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 akan mara secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 sementara pasukan keempat akan mengharungi 'play-off' menentang wakil Afrika, Guinea.

Pencapaian terbaik skuad Harimau Muda pada kempen Piala Asia B-23 adalah mara ke suku akhir edisi 2018 sebelum tewas 1-2 di tangan Korea Selatan.

Namun, kekalahan 0-2 kepada Uzbekistan pada perlawanan pertama kumpulan D menyaksikan impian untuk menempah slot ke Olimpik Paris dilihat cukup sukar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 1:17 PM