DATUK Noor Azman Rahman. FOTO BERNAMA
DATUK Noor Azman Rahman. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 tahun (B-23) bukanlah anak tiri apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempunyai perancangan terhadap pasukan muda itu supaya mampu menyinar di pentas Piala Asia B-23 di Qatar, April ini.

Malah, menurut Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman, pihaknya tidak akan membiarkan skuad B-23 'mereput' dengan cuba mengatur beberapa perlawanan persahabatan supaya mereka tampil lebih bersedia menjelang perlawanan penting itu.

"Kita memang ada perancangan untuk skuad B-23 termasuklah untuk ke Qatar pada April tetapi kita belum mendapat pengesahan dan ada kekangan untuk kita dapatkan perlawanan.

"Sebab itulah kita tidak boleh umumkan lagi tetapi memang ada perancangan untuk bulan Mac dan juga April. Kita mahukan yang terbaik untuk pasukan tetapi apa pun, kita tengok tunggu maklum balas daripada mereka," katanya.

Skuad B-23 dijadual menyertai pertandingan empat penjuru yang sepatutnya berlangsung di Indonesia pada bulan depan namun dibatalkan.

Sebagai rekod, skuad Harimau Muda berjaya menempah slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 selepas muncul empat pasukan naib juara kumpulan terbaik dalam aksi kelayakan.

Mereka diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait dengan mereka akan membuka kempen berdepan Uzbekistan pada 17 April.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini meletakkan harapan untuk melihat skuad B-23 negara mara sehingga ke separuh akhir Piala Asia B-23 sekali gus berpeluang mara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.

Tiga pasukan terbaik di Doha akan layak secara merit ke Paris sementara tempat keempat akan berentap dengan pasukan keempat dari Afrika, Guinea untuk merebut satu lagi tiket ke saingan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 1:23 PM