KIM Swee pihak pengurusan Sabah FC berpuas hati terhadap prestasi yang ditunjukkan Stamboulidis. FOTO Ihsan Sabah FC
KIM Swee pihak pengurusan Sabah FC berpuas hati terhadap prestasi yang ditunjukkan Stamboulidis. FOTO Ihsan Sabah FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC menambah seorang lagi pemain import, Haris Stamboulidis, bagi menambah kekuatan pasukan mengharungi kempen Liga Super 2024 - 2025 yang dijadual bermula bulan depan.

Perkara itu disahkan Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, ketika ditanya mengenai status pemain import itu yang sebelum ini dilihat menjalani latihan bersama skuad Sang Badak.

"Pihak pengurusan Sabah FC berpuas hati terhadap prestasi yang ditunjukkan Haris berdasarkan ciri-ciri pemain yang diperlukan bagi memperkukuhkan pasukan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Berikutan itu, katanya Sabah FC bersetuju mengikat kontrak pemain pertahanan berumur 27 tahun kelahiran Australia itu, sekali gus menjadikan lapan pemain import bersama Sabah FC pada musim ini.

Kim Swee berkata, Sabah FC juga mempunyai satu lagi slot pemain import, namun hanya diisi jika pihak pengurusan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

"Kita bergantung sepenuhnya kepada kedudukan kewangan pihak pengurusan Sabah FC, jika mengizinkan kita akan menilai pemain import yang berkualiti untuk mengisi slot kekosongan berkenaan.

"Memang ada keperluan untuk mengisi slot pemain import itu, namun faktor kewangan juga perlu diambil kira sebelum memutuskannya," katanya.

Sementara itu, mengenai status Dainel Ting, beliau berkata, pemain itu masih bersama Sabah FC secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Kita semua tahu Daniel Ting masih lagi bersama JDT, jadi Sabah FC akan terus meminjamnya sehingga akhir musim ini.

"Secara keseluruhannya, Sabah FC berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Daniel Ting sepanjang bersama pasukan pada musim lalu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kim Swee berkata, Sabah FC akan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan bermula 23 April ini di Keningau.

Katanya, pasukan bimbingannya juga mengadakan 'team building' di Keningau sebelum meneruskan beberapa siri perlawanan persahabatan di Sandakan dan Tawau.

"Ini agenda utama Sabah FC bagi mengeratkan lagi hubungan di antara pemain dan pegawai termasuk menghargai sokongan penyokong setia Sabah FC," katanya.

Selain itu, Kim Swee berkata, Sabah FC akan menyertai kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dijadual bermula pada 29 April hingga 5 Mei depan.

Katanya, perlawanan itu sebagai antara persiapan Sabah FC bagi memulakan kempen Liga Super yang akan bermula pada pertengahan Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 10:20 PM