GARRIDO akui misi getir lawan Uzbekistan. FOTO FAM
GARRIDO akui misi getir lawan Uzbekistan. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pantang undur sebelum ' bertempur'. Itu situasi terkini skuad bawah 23 tahun (B-23) negara yang akan membuka tirai perjuangan mereka menentang Uzbekistan dalam saingan kumpulan D Piala Asia B-23, esok.

Beraksi di Stadium Antarabangsa Khalifa, pengendali skuad B-23 negara Juan Torres Garrido menyedari anak buahnya bakal menerima tentangan sengit daripada juara Piala Asia B-23 2018 itu.

Beliau berkata, persiapan lebih seminggu di bumi Qatar membantu skuad muda negara lebih matang sekali gus mampu mencuri sekurang-kurangnya satu mata pada pertemuan pertama itu.

"Selama menjalani latihan sebelum bermulanya kempen Piala Asia, sudah pastinya kita memperbaiki setiap kelemahan apabila mengharungi aksi persahabatan.

"Kita sudah bersedia berhadapan Uzbekistan. Malah, pemain juga tidak gentar terhadap status Uzbekistan apabila mereka akan berusaha memastikan perlawanan pertama memihak kepada Malaysia.

"Seperti dijangka, perlawanan esok adalah sukar namun kita akan berikan terbaik demi negara," katanya, dalam sidang media pra-perlawanan kumpulan D Piala Asia B-23, di Qatar.

Mengikut rekod, kempen kali ini menyaksikan skuad Harimau Muda yang diundi dalam Kumpulan D membuka saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti aksi bertemu Vietnam (20 April) dan Kuwait (23 April).

Tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 akan mara secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 sementara pasukan keempat akan mengharungi 'play-off' menentang wakil Afrika, Guinea.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad Harimau Muda pada kempen Piala Asia B-23 adalah mara ke suku akhir edisi 2018 sebelum tewas 1-2 di tangan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 5:46 PM