BUDIMIR tersilap langkah ketika melakukan sepakan penalti. FOTO Agensi
BUDIMIR tersilap langkah ketika melakukan sepakan penalti. FOTO Agensi
Agensi

London: Penonton seakan tidak percaya selepas Ante Budimir melakukan sepakan penalti yang dianggap terburuk dalam sejarah bola sepak.

Osasuna ketinggalan 0-1 di tempat sendiri awal pagi tadi ketika menentang Valencia menerusi jaringan Andre Almeida tetapi mereka mempunyai peluang terbaik menyamakan kedudukan selepas mendapat penalti saat akhir.

Budimir yang berjaya mendapatkannya mengambil sepakan itu pada minit ke-97 tetapi apa berlaku selepas itu sangat menghampakan penyokong tuan rumah dan rakan sepasukan.

Dia berlari tetapi kemudiannya tersalah langkah ketika cuba melakukan sepakan dengan kaki kiri menyebabkan bola itu meleret lemah menuju penjaga gol Giorgi Mamardashvili sekali gus penalti paling mudah diselamatkan sepanjang kariernya.

Pengulas perlawanan berkata, "Ia penalti terburuk pernah anda lihat musim ini malah sepanjang zaman."

Budimir hanya mampu menekup kepala dan menggosok mata seakan mahu tanah menelannya selepas itu.

Penyokong Osasuna pantas melepaskan geram mereka ke atas Budimir di media sosial selepas insiden memalukan itu.

Seorang daripadanya berkata: "Tahniah Ante Budimir. Anda baru sahaja melakukan sepakan penalti terburuk pernah disaksikan dunia."

Manakala yang kedua menulis: "Tanpa diragui ia penalti paling buruk pernah saya lihat," dan yang ketiga dengan nada bergurau berkata: "Jika ia berlaku kepada saya, saya akan bersara serta merta."

Seorang lagi menambah: "Malam memalukan untuk penalti yang sangat berharga buat penyokong tuan rumah."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 3:32 PM