BENZEMA (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya ketika Real mengalahkan Sociedad 2-1. FOTO AFP
BENZEMA (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya ketika Real mengalahkan Sociedad 2-1. FOTO AFP
AFP

REAL Madrid merampas kedudukan teratas liga daripada Barcelona selepas menewaskan Real Sociedad 2-1 awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Real berasa sedikit gusar apabila Sergio Ramos yang menjaringkan gol pembukaan melalui sepakan penalti terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

Karim Benzema meneruskan rentak cemerlang dengan menjaringkan gol kedua di Anoeta tatkala Mikel Merino menghidupkan sedikit harapan Sociedad selepas meledak jaringan tujuh minit sebelum perlawanan tamat.

Walaupun mengumpul jumlah mata sama dengan Barca, Real berada di atas berdasarkan rekod pertemuan.

Sociedad sebelum ini berada dalam kelompok empat terbaik sebelum saingan liga ditangguhkan selama tiga bulan namun keputusan satu seri dan dua kekalahan menyaksikan mereka tergelincir ke tangga ketujuh.

Ramos menjaringkan gol yang ke-20 melalui sepakan penalti pada minit ke-50 untuk menjadi pertahanan La Liga paling banyak meledak gol sepanjang zaman iaitu 68 gol, memintas Ronal Koeman.

"Dia adalah pertahanan terbaik di dalam dunia. Apa yang sedang dilakukan dan dicapainya setakat ini adalah sangat luar biasa," kata pengurus, Zinedine Zidane.

Bagaimanapun, Ramos terpaksa dikeluarkan 10 minit sebelum perlawanan tamat selepas mengalami kecederaan lutut, sekali gus menimbulkan kegusaran buat Madrid jika ia adalah serius.

Ramos duduk di bangku simpanan dengan lutut kirinya dibalut ais.

"Sekarang ia kelihatan sangat sakit namun saya rasa ia hanya seketika. Ia adalah berita baik namun kita akan lihat semula selepas ini.

Sementara itu, Goncalo Guedes menjaringkan gol hasil gerakan solo menarik untuk membantu Valencia memburu kedudukan terbaik melayakkan diri ke kedudukan kelayakan Liga Juara-Juara selepas menumpaskan Osasuna 2-0.

Guedes mengutip bola dari dalam petak penalti sebelum memperdayakan empat pemain Osasuna dan melepaskan rembatan menuju ke penjuru gawang lawan.

Rodrigo Moreno menambah gol kedua bagi membolehkan Valencia merapatkan jurang dengan pasukan tangga keempat, Sevilla dengan beza enam mata.

Osasuna tergelinir ke kedudukan ke-12 dan lawan mereka selepas ini ialah Alaves, yang tumpas 0-6 di tempat lawan berdepan pasukan sedang bergelut, Celta Vigo.

Alaves terpaksa bermain dengan 10 orang pada minit ke-27 apabila Martin Aguirregabiria diperintah keluar padang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 11:20 AM