ZAQUAN (kanan) mengingatkan Faliq agar sentiasa berpijak di bumi nyata dan jangan terlalu mendongak ke langit. FOTO AZRUL EDHAM
ZAQUAN (kanan) mengingatkan Faliq agar sentiasa berpijak di bumi nyata dan jangan terlalu mendongak ke langit. FOTO AZRUL EDHAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Macam mana nak semak status kalau awak lari-lari dari saya...awak 'sidai' saya sampai ke sudah."

Demikian respon balas bekas ketua pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC), Zaquan Adha Abdul Radzak yang 'naik angin' dengan dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus semalam.

Menerusi kenyataan Faliq semalam, beliau mendakwa Zaquan seperti kebudak-budakan apabila menyalahkan NSFC ekoran tidak menyambung khidmatnya sedangkan kontrak penyerang berpengalaman itu sudah tamat sejak Disember lalu.

Faliq turut menegaskan, pemain berusia 37 tahun itu juga tidak pernah menanyakan tentang statusnya dan hanya menghubungi NSFC untuk meminta tunggakan gaji.

Bagaimanapun, segala dakwaan itu nyata membangkitkan rasa tidak luas hati Zaquan yang mendedahkan Faliq cuba mengelak berjumpa dengannya dan langsung tidak menjawab panggilannya.

"Maaf saya tak nak gaduh dengan sesiapa pun. Tapi saya rasa awak (Faliq) boleh betulkan statement ini balik.

"Saya whatsapp awak tak reply, saya tanya nak jumpa pukul berapa, awak sidai saya sampai ke sudah. Jangan cakap kat orang saya tak semak status.

"Macam mana nak semak status kalau awak lari-lari dari saya. Whatsapp tak reply, 'call' memang banyak kali tak jawab," katanya di laman sosial miliknya.

Jelasnya lagi, dia mengingatkan Faliq agar sentiasa berpijak di bumi nyata dan jangan terlalu mendongak ke langit.

"Ingatlah jawatan hanya sementara. Jangan cerita kat orang benda yang nak lepaskan diri awak," kata Zaquan.

Untuk rekod, Faliq dilantik sebagai CEO NSFC pada Januari lalu susulan prestasi kurang memberangsangkan pasukan itu pada musim 2023, sekali gus memaksa Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat rombakan ke atas struktur pengurusan kelab.

Terdahulu, Zaquan menzahirkan rasa terkilan berhubung layanan NSFC apabila menyerahkan notis penamatan kontrak pada Selasa lalu yang sebenarnya cukup lewat bagi dirinya mencari pasukan baharu.

Ekoran itu, ramai peminat menyalahkan NSFC apabila tidak memaklumkan lebih awal kepada bekas penyerang skuad Harimau Malaya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 2:58 PM