FITRIA Elfina sebak ketika ditemui media ketika hadir bagi proses Sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. FOTO Aziah Azmee
FITRIA Elfina sebak ketika ditemui media ketika hadir bagi proses Sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. FOTO Aziah Azmee
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kemelut rumah tangga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali dengan isterinya, Fitria Elfina Maharip akhirnya berakhir selepas mahkamah mengesahkan perceraian mereka hari ini.

Biarpun sudah berpisah, Fitria Elfina, 44, berkata, dia berlapang dada dan tidak menyimpan sebarang dendam dengan Safee atau nama sebenarnya, Mohd Safee Mohd Sali, 40.

"Alhamdulillah, lega Allah permudahkan segala urusan. Saya juga sudah lama maafkan dia dan 'move on' cuma saya menangis (masa kes hadanah) sebab pasal anak bukan sebab fikirkan perkahwinan kami.

"Saya tiada masalah dengan dia, malah saya pun tak mahu kacau rumah tangga dia dengan isteri baru cuma saya hubungi dia sebab anak kami saja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, Fitria Elfina dan Safee Sali hadir berasingan ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, Selangor pagi tadi bagi pengesahan lafaz perceraian mereka.

Mengulas lanjut, Fitria Elfina berkata, fokusnya kini hanya untuk menuntut hak penjagaan dua anak, Shania Safina dan Shanika Salsabila masing-masing berusia tujuh dan sembilan tahun selepas didakwa dibawa Safee sejak 6 Februari lalu.

"Sampai sekarang saya tak dapat berhubung langsung dengan anak-anak, entah sekolah atau tidak.

"Selama ini saya cuba hubungi dia tanyakan hal anak tetapi dia yang cuba lari-lari dan tak mahu beri kerjasama sampailah saya terpaksa gunakan mahkamah untuk tuntut hak jagaan anak.

"Saya harap di bulan mulia ini Allah lembutkan hati Safee dan semoga dia dapat ketepikan ego dia demi kebaikan anak-anak supaya kami dapat selesaikan isu ini dengan sebaiknya," katanya.

Sementara itu, peguam Fauzan Ziman Hassan yang mewakili Fitria Elfina berkata, mahkamah mengesahkan lafaz perceraian yang dibuat Safee pada 11 Februari lalu sah selepas meneliti keterangan kedua-dua pihak.

"Pengesahan lafaz cerai selesai dengan mahkamah sabitkan jatuh talak dua selepas defendan menghantar dua kali pesanan suara melalui WhatsApp kepada plaintif pada 11 Februari lalu.

"Selepas mahkamah dengar semua keterangan daripada empat ke lima lafaz, ada dua lafaz yang Safee berniat untuk jatuhkan talak jadi mahkamah sabitkan perceraian dengan mengambil kira pengakuan itu.

"Mahkamah juga arahkan perceraian itu hendaklah didaftarkan di pejabat agama islam daerah dan sijil nikah dua pihak dibatalkan," katanya kepada Harian Metro.

Bagi kes tuntutan nusyuz dibuat Safee, Fauzan berkata, sebutan semula kes terbabit ditetapkan pada 30 April ini manakala sebutan semula kes tuntutan hak penjagaan anak akan berlangsung 9 Mei ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan pendedahan Fitria Elfina yang terputus hubungan dengan dua anak perempuannya sejak awal Februari lalu.

Ia membuatkan suri rumah itu tiada pilihan terpaksa memfailkan tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebelum prosedur sulh kedua-dua pihak yang berlangsung pada 18 Mac lalu gagal mencapai kata sepakat.

Safee dan Fitria Elfina berkahwin pada 21 Disember 2013 sebelum dikurniakan dua cahaya mata perempuan.

Sebelum itu, Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) itu juga pernah berkahwin dengan Sabarina Yusof pada 2007 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan sebelum berpisah pada 2 April 2012.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 1:42 PM