SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman. -FOTO NSTP
SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi keyakinan bahawa padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mampu berada dalam keadaan terbaik menjelang perlawanan keempat Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/2027 Piala Asia menentang Oman pada 26 Mac ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, kebimbangan yang disuarakan pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon baru-baru ini adalah berdasarkan kepada lawatan dan pemerhatian tempoh hari.

Beliau berkata, pihak konsultan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah memberi jaminan bahawa padang mampu dibaik pulih sepenuhnya menjelang sepak mula 26 Mac ini sekali gus kemungkinan tidak akan berlaku lagi keadaan rumput 'terkoyak'.

"Stadium itu ok mungkin apa Pan-gon katakan adalah keadaan padang pada masa sekarang tapi dalam tempoh dua minggu ada sikit penambahbaikkan dan siap 100 peratus kelak.

"Kita sudah datang melawat cuma ada satu atau dua tempat saja perlu diperbaiki dalam tempoh dua minggu akan jadi seperti biasa.

"Kita percaya bahawa PSM mempunyai pakar dan konsultan yang akan menguruskan dan menyiapkan padang itu sebelum perlawanan bermula," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Pan-gon bagaikan hilang kata-kata selepas melihat keadaan padang SNBJ yang bakal menjadi gelanggang untuk perlawanan keempat Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ 2027 Piala Asia menentang Oman pada 26 Mac ini.

Hal ini kerana, jurulatih berasal dari Korea Selatan itu yang mengadakan lawatan di venue berkenaan Khamis lalu mendapati keadaan padang tidaklah sempurna seperti diharapkan.

Walaupun begitu, Pan-gon sedikit lega apabila konsultan yang dilantik PSM memberi jaminan bahawa padang akan berada dalam keadaan terbaik dalam tempoh dua minggu akan datang.

Keadaan padang SNJB menjadi perdebatan hangat sebelum ini apabila stadium itu menjadi venue beberapa konsert.

Harimau Malaya bakal mengharungi perlawanan ketiga Kumpulan D menentang pasukan ke-80 dunia Oman, di stadium Pusat Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada 21 Mac, sebelum pulang untuk perlawanan timbal balik, lima hari kemudian.

Selepas dua perlawanan itu, Malaysia yang berkedudukan ke-132 dunia akan bertemu Kyrgyzstan (6 Jun) di tempat lawan dan kembali ke Malaysia untuk bertemu Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

Malaysia dilihat berpeluang cerah untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia/Piala Asia buat julung kali apabila mendahului carta Kumpulan D dengan kelebihan tiga mata lebih daripada Oman.

Anak buah Pan Gon mencatatkan dua kemenangan menentang Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) tahun lepas untuk mengungguli carta kumpulan, manakala Oman di tempat kedua berkongsi mata dengan Kyrgyzstan, manakala Taiwan berada di tempat terakhir tanpa sebarang mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 2:25 PM