PAN-GON menjawab soalan pada sidang media di Wisma FAM hari ini. FOTO AZIAH AZMEE
PAN-GON menjawab soalan pada sidang media di Wisma FAM hari ini. FOTO AZIAH AZMEE
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Kontraktor Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) boleh bersedia menahan telinga jika padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) rosak apabila pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon akan menuntut janji manis mereka yang akan menyediakan venue terbaik pada aksi menentang Oman, malam esok.

Pan-gon berkata, kontraktor yang menguruskan padang SNBJ sebelum ini menjanjikan 'bulan dan bintang' iaitu menyediakan padang terbaik bagi perlawanan keempat Kumpulan D kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu.

Walaupun ketika ini status padang SNBJ masih lagi rahsia, jurulatih dari Korea Selatan itu mengharapkan permukaan padang itu berada dalam keadaan terbaik bagi mengharungi aksi penting menentang Oman itu selepas Malaysia tewas 0-2 kepada lawan sama, Jumaat lalu.

"Mengenai padang (Stadium Nasional), saya belum lihat lagi. 'Technicians' (kontraktor) janji akan bagi padang yang terbaik pada hari perlawanan.

"Jadi kami perlukan padang yang baik, harap esok kami dapat lihat padang yang bagus," katanya pada sidang media praperlawanan Malaysia menentang Oman di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Sebelum ini, Pan-gon menyatakan rasa tidak puas hati dengan keadaan padang SNBJ, namun beliau meletakkan kepercayaan terhadap kontraktor yang berjanji padang terbabit akan berada dalam keadaan baik sebelum aksi menentang Oman.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan keadaan padang SNBJ mula menjadi buah mulut penyokong bola sepak tempatan ketika ini selepas tersebarnya video di laman YouTube yang dipercayai diambil pada Sabtu lalu membabitkan perkembangan terkini padang venue itu.

Pemilik akaun YouTube itu menerbangkan dron untuk meninjau perkembangan terkini venue berkenaan selepas video dia memaparkan keadaan padang SNBJ beberapa hari lalu sebelum itu tular di media sosial.

Persoalan mengenai kesediaan SNBJ untuk aksi menentang Oman sudah dibangkitkan sebelum ini susulan penganjuran konsert Ed Sheeran, bulan lalu.

Bagaimanapun, pada 8 Mac lalu, FAM memutuskan pemilihan SNBJ untuk aksi terbabit selepas melakukan lawatan ke gelanggang itu dan mendapat jaminan daripada PSM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 2:14 PM