Manchester United tewas kepada Fulham. FOTO Agensi
Manchester United tewas kepada Fulham. FOTO Agensi

AFP

Manchester: Keghairahan Manchester United (MU) menyerang pada masa kecederaan mengundang padah apabila tewas 2-1 di tangan Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, awal pagi tadi.

Perkara itu diakui tonggak pertahanan MU, Harry Maguire yang akui kecewa dengan keputusan itu sekali gus menyaksikan peluang untuk memburu kelompok empat pasukan teratas EPL agak sukar.

"Secara keseluruhan, kami tidak melakukan dengan baik dalam 60 minit pertama. Kami tidak memulakan permainan dengan baik.

"Babak pertama agak seimbang, tetapi apabila anda tidak memberikan persembahan terbaik, anda perlu melakukan perkara asas dengan betul.

"Apabila ketinggalan satu gol, saya rasa tindak balas kami cukup baik pada 30 minit terakhir dan berjaya menyamakan kedudukan.

"Tetapi kami mungkin naif di saat-saat akhir apabila terlalu ramai pemain naik untuk memburu gol dan terperangkap dengan serangan balas," kata Maguire.

Dalam aksi itu, tuan rumah ketinggalan menerusi jaringan Calvin Bassey pada minit ke-65 sebelum Maguire meledak gol penyamaan pada di minit 89 untuk menghadirkan satu mata dalam perlawanan itu.

Begitupun ketika pengadil memberikan masa kecederaan sembilan minit, Alex Iwobi muncul wira Fulham dengan gol kemenangan untuk memastikan pasukannya pulang dengan tiga mata penuh.

United di tangga keenam kini lapan mata di belakang Aston Villa yang menghuni tangga keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 8:41 AM