RASHFORD tidak puas hati ditegur Maguire kerana sentiasa berada di kedudukan ofsaid. FOTO EPA
RASHFORD tidak puas hati ditegur Maguire kerana sentiasa berada di kedudukan ofsaid. FOTO EPA
Agensi

London: Kegagalan Manchester United menjaringkan gol ketika berdepan Crystal Palace pagi tadi menimbulkan suasana penuh kecewa dan tegang sehingga menyebabkan perang mulut sesama sendiri antara Marcus Rashford dan Harry Maguire.

Pada minit ke-69 dalam aksi ketiga berturut-turut United seri tanpa jaringan, Maguire melakukan hantaran lambung menuju ke arah Rashford namun penyerang England itu berada dalam keadaan ofsaid.

Maguire memberitahu Rashford bahawa sentiasa berada dalam kawasan permainan dan Rashford mengherdik semula ke arah pertahanan United itu.

United sekarang ini ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City.

Rashford juga melepaskan satu peluang terbaik pada separuh masa pertama dengan rembatannya tersasar tatkala United menguasai perlawanan ketika itu dan sekarang mereka sudah hampir lima jam tidak menjaringkan sebarang gol.

"Ia adalah permainan yang baik. Sayang sekali cubaan Marcus tersasar. Ada situasi di mana jika kita dapat menjaringkan gol kita akan memenangi perlawanan.

"Bagaimanapun, ia masih lagi aksi yang baik dan pemain sentiasa berusaha keras," kata pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer.

United kendalian kini hanya mampu memastikan kedudukan dalam kelompok empat teratas terus kekal hingga ke akhir musim untuk tiket Liga Juara-Juara musim depan.

"Kami perlu melakukannya dengan lebih baik, kami perlu mengambil risiko dalam serangan bagi mencipta lebih banyak peluang. Kami adalah Manchester United, kami perlu menang perlawanan sebegini.

"Pada Ahad kami mempunyai perlawanan besar menentang Manchester City. Kami perlu kembali memberi tumpuan untuk itu," kata pemain tengah United Nemanja Matic.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 3:00 PM