MAGUIRE (kanan) bersama penyerang, Callum Wilson (kiri) dan Harry Kane (tengah) bertepuk tangan ke arah penonton selepas England menewaskan Scotland 3-1 di Hampden Park, semalam. FOTO AFP
MAGUIRE (kanan) bersama penyerang, Callum Wilson (kiri) dan Harry Kane (tengah) bertepuk tangan ke arah penonton selepas England menewaskan Scotland 3-1 di Hampden Park, semalam. FOTO AFP
Agensi

London: Harry Maguire menegaskan dia boleh menangani kecaman dan ejekan yang menaikkan rasa marah pengurus England, Gareth Southgate.

Malah, bek tengah Manchester United itu menyatakan mempunyai sebab tidak meninggalkan Old Trafford pada musim panas lalu, selepas dilucutkan jawatan kapten oleh pengurus, Erik ten Hag.

Maguire menjadi mangsa cemuhan penyokong Scotland ketika England menang 3-1 pada aksi persahabatan di Hampden Park, awal pagi semalam, terutama selepas menjaringkan gol sendiri pada minit ke-67.

Jaringan itu memberikan harapan untuk Scotland untuk bangkit melawan selepas ketinggalan 0-2 sebelum itu.

Ejekan itu menyebabkan Southgate menggelar pengkritik Maguire sebagai 'bodoh'.

Tetapi, Maguire berkata, dia sudah cukup besar untuk menangani situasi seperti itu.

"Saya tidak boleh katakan berdepan tekanan mental," kata Maguire.

"Saya melalui banyak perkara pada beberapa tahun terakhir dan menjadi kapten di Manchester United selama hampir empat tahun.

"Anda memikul tanggungjawab besar dan semua perkara yang hadir kerananya dan jelas, banyak perkara buruk dan baik.

"(Di Hampden Park) mereka memberi tekanan hebat kepada saya. Saya boleh menanganinya. Saya kecewa dengan gol sendiri itu, tetapi ini adalah bola sepak.

"Anda adalah bek tengah dan meletakkan diri pada posisi seperti ini. Saya puas hati dengan prestasi pada babak kedua dan bagaimana saya menanganinya."

Di Old Trafford, Maguire berjanji akan berjuang untuk merebut semula tempat dalam kesebelasan utama selepas tidak jadi berpindah ke West Ham.

Maguire berkata, dia tidak jadi meninggalkan United kerana perjanjian kontrak dan mahu merebut semula tempat dalam skuad utama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 9:35 AM