AFP

Miami: Perlawanan akhir Piala Dunia 2026 akan diadakan di Stadium MetLife di New York/New Jersey umum penganjur Fifa.

Bidaan New York berjaya menewaskan cabaran dari Dallas untuk memastikan perlawanan 19 Julai, kemuncak kejohanan membabitkan 48 pasukan yang dihoskan bersama Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico berlangsung di bandar itu.

Pertandingan akan bermula dengan perlawanan pembukaan di Stadium Azteca di Mexico pada 11 Jun.

"Piala Dunia Fifa yang paling inklusif dan memberi impak bukan lagi mimpi tetapi realiti yang akan dibentuk membabitkan 104 perlawanan di 16 stadium terbaik di seluruh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat," kata presiden Fifa, Gianni Infantino.

"Dari perlawanan pembukaan di Estadio Azteca yang ikonik hingga ke perlawanan akhir yang menakjubkan di New York New Jersey, pemain dan peminat menjadi teras kepada perancangan besar kami untuk kejohanan ini.

"Ia bukan sahaja akan mencipta rekod baharu tetapi juga meninggalkan legasi yang tidak dapat dilupakan."

Atlanta dan Dallas akan menjadi tuan rumah separuh akhir manakala permainan tempat ketiga akan dimainkan di Miami.

Toronto, Mexico City dan Los Angeles akan menjadi hos perlawanan pembukaan bagi setiap pasukan kebangsaan masing-masing.

STADIUM MetLife di New York/New Jersey dipilih tuan rumah final Piala Dunia 2026. -FOTO Reuters
STADIUM MetLife di New York/New Jersey dipilih tuan rumah final Piala Dunia 2026. -FOTO Reuters

Stadium bumbung terbuka bagi final itu, yang dibuka pada 2010 dan mempunyai kapasiti 82,500, menjadi hos final Copa America Centenario pada 2016 apabila Chile menafikan Lionel Messi dan Argentina kali kedua menerusi penentuan sepakan penalti.

Fifa bagaimanapun tidak mengumumkan sepak mula bagi setiap perlawanan.

Piala Dunia 2026 akan menampilkan 104 perlawanan di sebalik tradisi 64 perlawanan, termasuk tambahan pusingan kalah mati susulan pengumuman terdahulu meningkatkan jumlah pasukan kepada 48 daripada 32.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 12:00 PM