Reuters

New Jersey, Amerika Syarikat: Angel Di Maria (gambar) berkerja keras untuk mengekalkan kecergasannya demi peluang beraksi mewakili Argentina pada final Copa America Centenario, berdepan juara bertahan Chile selepas dua kali gagal edisi sebelumnya.

Di Maria, diberi gelaran `Fideo’ yang membawa maksud mi, tidak mahu ketinggalan beraksi di East Rutherford selepas gagal beraksi pada final Piala Dunia 2014 akibat kecederaan dan terpaksa dikeluarkan selepas setengah jam bermain ketika perlawanan penentuan Copa America di Chile tahun lalu.

“Apa yang saya inginkan adalah bermain di final. Saya tidak dapat bermain dua final terdahulu, jadi menjadi harapan boleh beraksi kali ini,” kata Di Maria yang menjaringkan gol pertama Argentina dalam kejohanan itu ketika menewaskan Chile 2-1 pada peringkat kumpulan.

Di Maria diberitahu selepas kecederaan ketika menentang Panama dia berpeluang diturunkan kembali dalam kejohanan itu jika Argentina mara ke final.

Dalam kejohanan yang dikatakan cemerlang buat Lionel Messi bersama Argentina, posisi sayap yang biasanya dikaitkan dengan Di Maria dianggap membawa nasib malang.

“Hari ini kita boleh katakan Di Maria mempunyai tahap fizikal terbaik berbanding Nico Gaitan,” kata jurulatih Gerardo Martino mengenai pemain baru Atletico Madrid itu yang beraksi di posisi sayap kiri pada aksi suku akhir yang menyaksikan mereka menang 4-1 ke atas Venezuela.

Gaitan kini sedang dirawat berikutan kesakitan otot kaki ketika menentang Venezuela dan Ezequiel Lavezzi langsung tidak berpeluang bermain di Stadium Metlife selepas mengalami kecederaan siku sewaktu menewaskan pasukan tuan rumah 4-0 pada separuh akhir di Houston.

Jika tiada seorang di antara mereka diturunkan dalam kesebelasan utama perlawanan itu, posisi berkenaan hampir pasti menjadi milik Erik Lamela yang sudah menjaringkan dua gol dalam kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2016 @ 5:06 AM