AKSI antara Arsenal dan Nottingham pagi tadi. FOTO AFP
AKSI antara Arsenal dan Nottingham pagi tadi. FOTO AFP
Reuters

London: Arsenal merapatkan jurang dengan pendahulu, Liverpool selepas mencatat kemenangan 2-1 Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas Nottingham Forest.

Gabriel Jesus meledak gol untuk Arsenal pada minit ke-65 sebelum tujuh minit kemudian dia membuka ruang buat Bukayo Saka untuk meledak gol kedua di City Ground.

Gol saguhati tuan rumah dijaringkan oleh Taiwo Awoniyi di hujung perlawanan.

Walaupun pada saat akhir The Gunners terselamat daripada penamat mendebarkan untuk melonjak ke tangga kedua dan hanya dibezakan dua mata dengan Liverpool.

Mereka mengumpul 46 mata selepas 22 perlawanan dan memintas Manchester City yang hanya memungut 43 mata daripada 20 aksi.

Liverpool akan berdepan Chelsea di Anfield awal pagi esok.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Mikel Arteta terpaksa menunggu sehingga minit ke-65 untuk memecah kebuntuan walaupun menguasai 74 peratus perlawanan dan melakukan 19 percubaan.

Jesus, yang bergelut dengan masalah lutut, menjaringkan gol pada sudut sukar.

"Kami melakukan apa yang sepatutnya kami lakukan," kata Arteta kepada BeIN Sports.

"Memperagakan aksi dengan cara kami lakukan tahun lalu dan di awal tahun ini, kerana kami sudah berikan yang terbaik namun hanya tidak menterjemahkan dari segi keputusan.

"Sekarang keputusan perlawanan juga sudah ikut seperti persembahan yang kami pamerkan. Kami mempunyai momentum dan perlu meneruskannya."

Forest yang dibimbing Nuno Espirito Santo, menduduki tangga ke-16 selepas mengumpul 20 mata, dua mata di atas zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 8:44 AM