WAN KUZAIN ketika dipanggil menyertai sesi latihan skuad negara pada 2019. FOTO IHSAN OOI KIN FAI
WAN KUZAIN ketika dipanggil menyertai sesi latihan skuad negara pada 2019. FOTO IHSAN OOI KIN FAI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya mempunyai lebih banyak pilihan pada masa akan datang apabila pemain kelahiran Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal sudah mendapat 'lampu hijau' untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Hal ini kerana, menerusi laman Transfermarkt menyatakan status kewarganegaraan pemain berusia 25 tahun itu sudah berubah kepada Malaysia sekali gus layak untuk Wan Kuzain menabur bakti bersama skuad Harimau Malaya.

Malah, situasi terbabit turut diperkuatkan lagi apabila abangnya yang juga Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal tampil menyatakan bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah berhubung dengan Wan Kuzain untuk tujuan terbabit.

"Banyak komen biadap daripada 'haters' yang terpaling bola.FAM sudah pun berhubung dengan Wan Kuzain untuk sarung jersi Harimau Malaya," tulisnya di laman sosial X.

Sebelum ini Wan Kuzain berstatus sebagai warganegara Amerika Syarikat memandangkan pemain tengah ini lahir Carbondale, Illinois dan turut pernah mewakili pasukan bawah 17 tahun Amerika Syarikat.

Wan Kuzain yang kini bermain untuk St. Louis 2 sebelum ini pernah dipanggil untuk bersama skuad bawah 23 tahun negara pada November 2019 bagi menghadapi Sukan Sea namun isu dokumentasi menyekat hasrat Kuzain mewakili Malaysia.

Wan Kuzain menjadi mangsa cemuhan segelintir penyokong bola sepak tempatan yang tidak puas hati dengan tindakannya memperlekeh panggilan ke skuad Malaysia suatu ketika dahulu.

Namun disebalik cemuhan yang diterima Wan Kuzain, masih ramai peminat tetap memberikan sokongan kepada pemain itu untuk menyarung jersi Malaysia.

Selain itu, bapa kepada Wan Kuzain iaitu Wan Kamal memberikan isyarat bahawa anaknya bakal menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya tidak lama lagi.

"Kuzain akan tiba tidak lama lagi," tulis Wan Kamal di laman Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 2:14 PM