WAN Kuzain (tengah) pernah menjalani sesi latihan Skuad B-22 negara pada 2019. FOTO NSTP
WAN Kuzain (tengah) pernah menjalani sesi latihan Skuad B-22 negara pada 2019. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyerahkan kepada barisan kejurulatihan untuk membuat keputusan jika mahu menggunakan khidmat dua pemain negara yang menetap Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal dan Wan Kuzri Wan Kamal bagi menguatkan pasukan kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, pihaknya tiada halangan jika barisan kejurulatihan membabitkan skuad senior dan bawah 23 tahun (B-23) mahu menggunakan khidmat dua pemain itu.

Beliau berkata, ketika ini nama dua pemain terbabit tidak dibincangkan walaupun terdapat perkhabaran mereka bersedia untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

"Kita biarkan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan jurulatih B-23, E Elavarasan membuat keputusan untuk memanggil dua beradik itu atau sebaliknya.

"Setakat ini, tiada perbincangan lanjut berkaitan perkara itu namun FAM tetap menyokong perkara yang positif untuk skuad kebangsaan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, dua pemain terbabit bersedia menyahut panggilan Harimau Malaya jika khidmat mereka diperlukan.

Jelas bapa kepada kedua-dua pemain itu, Wan Kamal mengakui anaknya berminat untuk membantu pasukan negara di pentas antarabangsa.

Mengikut rekod, Kuzain dan Kuzri pernah dipanggil menyertai skuad bawah B-23dan B-19 tahun negara namun terpaksa diketepikan saat akhir ekoran masalah dokumentasi.

Ketika ini, pasangan adik beradik itu mencetuskan sensasi di Liga Amerika Syarikat terutama Kuzain bersama kelabnya, St Louis City SC.

Dia dianggap pemain tengah menyerang yang menyerlah dalam liga di negara itu di mana Kuzain sudah meledak dua gol buat pasukannya musim ini.

Sementara adiknya, Kuzri pula beraksi dengan Saint Charles SC dalam Liga USL 2, yang juga saingan praprofesional di Amerika Utara.

Jika dipanggil, dua tonggak terbabit mungkin boleh memperkuatkan bahagian tengah Malaysia yang akan bersaing di Piala Asia di Qatar Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 12:43 PM