PEMAIN Palestin meraikan gol penyamaan ketika seri 1-1 dengan UAE. FOTO BERNAMA
PEMAIN Palestin meraikan gol penyamaan ketika seri 1-1 dengan UAE. FOTO BERNAMA
AFP

Doha: Makram Daboub memberitahu anak buahnya dalam skuad Palestin supaya mencipta sejarah dengan mara ke pusingan kalah mati Piala Asia buat kali pertama selepas seri 1-1 dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang beraksi dengan 10 pemain, malam tadi.

Perlawanan mendebarkan di Qatar itu berlangsung pada ketika peperangan Israel-Hamas masih meletus susulan penaklukan wilayah Palestin di Gaza.

Sebahagian ahli keluarga pemain itu terbunuh atau terperangkap di Gaza dan mereka terpaksa berlatih serta bermain perlawanan persediaan di luar negara.

Tempoh senyap seketika turut dilaksanakan sebelum sepak mula dan sebahagian besar daripada 40,000 penyokong di Doha bersorak menyokong Palestin.

Bagaimanapun, UAE membuka jaringan pada pertengahan babak pertama menerusi tandukan Sultan Adil.

Rentak perlawanan berubah apabila Palestin dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-37 dan pemain pertahanan UAE, Khalifa Al-Hammadi dibuang padang.

Sepakan penalti Tamer Seyam diselamatkan penjaga gol UAE, Khalid Eisa, tetapi Palestin memperoleh gol penyamaan selepas lima minit babak kedua bersambung apabila pemain pertahanan UAE, Bader Nasser tertanduk bola ke gawang sendiri.

Malah, Daboub yakin mereka mampu layak dalam kelompok 16 terakhir apabila menentang skuad kerdil, Hong Kong pada perlawanan terakhir kumpulan, Selasa ini.

"Perlawanan dengan Hong Kong akan menjadi sejarah, bukan saja kepada pemain dan peminat, tetapi semua rakyat Palestin," kata jurulatih itu selepas mereka memulakan kempen dengan kekalahan 1-4 kepada Iran.

"Mesej kami bukan saja mengenai sukan, ia membawa makna besar kepada rakyat memandangkan apa yang berlaku di negara kami. Kami harap dapat mencipta sejarah di sini."

Daboub berkata, pasukannya kurang bernasib baik apabila gagal memenangi perlawanan itu walaupun mencipta banyak peluang pada babak kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 10:32 AM